GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Penjawat awam dikesan menyalahgunakan kedudukannya dengan melantik syarikat milik isteri bagi mendapatkan kontrak pembekalan dan perkhidmatan di jabatannya berjumlah keseluruhan RM540,517.

Menurut sumber, suspek yang berusia 49 tahun itu ditahan jam 11.55 malam tadi ketika hadir di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan.

"SPRM menahan seorang penjawat awam kerana disyaki menyalahguna kedudukannya dengan melantik syarikat milik isterinya bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan di jabatannya.

"Berdasarkan siasatan, sebanyak empat syarikat milik isterinya mendapat kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan yang keseluruhannya berjumlah RM540,517.85," katanya.

Menurutnya, permohonan reman dilakukan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi.

"Suspek dibenarkan reman selama tujuh hari sehingga 26 Februari depan dan ditempatkan di lokap SPRM Negeri Sembilan. Suspek tidak diwakili peguam," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 12:48 PM