Mohamad Sabu hadir pada program Santai Akuakultur Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Media di Ladang Pembenihan dan Ternakan Ikan Air Tawar, Bestari Jaya. FOTO ASYRAF HAMZAH
Mohamad Sabu hadir pada program Santai Akuakultur Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Media di Ladang Pembenihan dan Ternakan Ikan Air Tawar, Bestari Jaya. FOTO ASYRAF HAMZAH
Amir Abd Hamid dan Amirul Aiman Hamsuddin


Rawang: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi fokus untuk memperkasa industri akuakultur dengan sasaran pengeluaran sebanyak 500,000 tan metrik, tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sasaran itu membabitkan 60 peratus sumber akuakultur dan 40 peratus perikanan tangkapan.

Beliau berkata, sebanyak lima hala tuju kementerian bagi 2023 akan diteruskan pada tahun ini dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bertanggungjawab terhadap hala tuju pemerkasaan industri akuakultur.

"Pemerkasaan sektor akuakultur adalah bagi mengurangkan tekanan kepada permintaan sumber perairan semula jadi.

"Kita semakin menghampiri kepada kadar sara diri (SSR) melalui tangkapan ikan air tawar dan hasil laut yang bertambah.

"Pada masa sama, kita harus teruskan kempen makan ikan air tawar bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tangkapan laut, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat ARC Berkat Agrafood Sdn Bhd di Bestari Jaya, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain.

Sementara itu, Adnan berkata, sebanyak 10 kawasan pengeluaran akuakultur sudah dipilih dan akan dipantau bagi menjayakan sasaran pengeluaran 500,000 tan metrik pada tahun ini.

"Kawasan ini juga akan diberi perkhidmatan dari segi khidmat teknikal, pinjaman sangkar juga bantuan berbentuk in-kind.

"Permintaan dan pengeluaran ikan akuakultur di Malaysia dijangka akan meningkat sekali gus dapat membantu pendapatan penternak serta pengusaha produk berasaskan ikan akuakultur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 3:56 PM