FOTO ihsan abcnews
FOTO ihsan abcnews

Shah Alam: Seorang lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anggota keluarganya tergamak merogol dan meliwat anak tirinya sebanyak tiga kali ketika mangsa berumur 14 dan 16 tahun.

Akibatnya, penjual sayur itu disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 32 tahun serta 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Slamat Yahya menjatuhi hukuman itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Sembilan saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Tertuduh yang berusia 41 tahun didakwa meliwat mangsa tanpa kerelaannya sebanyak dua kali di sebuah rumah di Sungai Buloh dekat sini, sekitar 2011 dan 6 Oktober 2013.

Dia didakwa dan dihukum mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh disebat.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Hakim Slamat menjatuhi hukuman penjara berjumlah 22 tahun dan 15 sebatan.

Tertuduh juga didakwa merogol mangsa sekitar Januari hingga Februari 2013 di rumah sama dan bagi kesalahan itu, dia dihukum mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta boleh disebat sekurang-kurangnya 10 kali.

Bagi kesalahan itu, Hakim Slamat menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan.

Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman berjalan secara berturutan berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 7 Oktober 2013. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 7:05 PM