BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiga rakan, masing-masing perlu menjalani hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan serta lapan tahun dan lapan sebatan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan mereka untuk mengurangkan hukuman bagi kesalahan merogol pelajar perempuan bawah umur, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah berkata sabitan yang diputuskan hakim Mahkamah Sesyen terhadap ketiga-tiga mereka sebelum ini adalah selamat untuk dikekalkan.

Ketika menyampaikan keputusan itu, beliau mengingatkan ketiga-tiga lelaki itu supaya tidak lagi mengambil kesempatan terhadap perempuan terutama berumur bawah 16 tahun apabila bebas kelak.

"Jika ketika melakukan kesalahan itu, kamu tidak memikirkan dosa, sepatutnya kamu perlu memikirkan hukuman yang akan dikenakan terhadap kesalahan kamu," katanya selepas membenarkan rayuan dikemukakan Mohamad Amir Madzlan, 29, bekas pengawal keselamatan Kamarul Akmal Remli, 26, bekas

penghantar surat dan Shah Reza Zulkifli, 22, bekas kontraktor pemasangan telefon, bagi mengurangkan hukuman.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan menjatuhi hukuman penjara 19 tahun dan 16 sebatan terhadap Mohamad Amir yang mempunyai kesalahan lampau bagi jenayah sama manakala hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan terhadap Kamarul Akmal dan Shah Reza.

Mereka didapati bersalah merogol pelajar itu yang ketika kejadian berumur 13 tahun dan 10 bulan di sebuah bilik hotel, di Cheras antara 2 petang hingga 4.30 petang pada 30 Oktober 2013 mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 30 tahun, dan sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 7:29 PM