Kesan kemusnahan gajah liar di Kampung Dandut, Pos Simpor. FOTO Ihsan Penduduk
Kesan kemusnahan gajah liar di Kampung Dandut, Pos Simpor. FOTO Ihsan Penduduk
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Gangguan gajah liar yang merosakkan kebun penduduk Orang Asli di Kampung Jader, Pos Simpor dekat sini, sejak setahun lalu, menyebabkan penduduk di perkampungan terbabit terputus sumber makanan.

Penduduk mendakwa kejadian serangan gajah terhadap tanaman mereka itu membabitkan beberapa kampung di pos itu antaranya, Kampung Dandut, Kampung Jader, Kampung Halak dan Kampung Jader lama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor Dendi Johari berkata, susulan serangan gajah yang sering berulang itu, penduduk adakala putus asa untuk terus bercucuk tanam.

"Belum sempat kami menuai hasil padi bukit yang ditanam, semuanya habis dirosakkan gajah liar. Perasaan kami sangat kecewa dan rasa apa yang kami lakukan adalah sia-sia.

"Dalam kejadian terbaharu pada Sabtu lalu, habis tanaman penduduk seperti padi bukit, pisang dan ubi kayu dirosakkan gajah liar di Kampung Dandut.

"Laporan sudah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan saya harap ada tindakan daripada pihak mereka untuk membantu masalah kami ini," katanya ketika ditemui di Pos Simpor di sini.

Bagi Setiausaha JPKKOA Pos Simpor, Winson Bah Kuasan, gangguan haiwan liar itu menyebabkan lebih 800 penduduk di pos terbabit terputus sumber makanan.

Katanya, penduduk Orang Asli di pedalaman hanya bergantung hidup dengan tanaman sebagai sumber makanan.

Menurutnya, ini kerana untuk membeli beras di kampung terdekat di Kuala Betis, mereka perlu menempuh perjalanan sehingga enam atau tujuh jam apabila cuaca hujan, dan dua jam, jika cuaca baik.

"Kami di sini tiada pilihan, walaupun masalah ini berulang, kami tetap perlu bercucuk tanam untuk sumber makanan. Tapi apabila semua di rosakkan apa yang kami nak makan?," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 10:34 AM