Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang (kanan) menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Jader, Pos simpor, di sini. FOTO Paya Linda Yahya 
Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang (kanan) menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Jader, Pos simpor, di sini. FOTO Paya Linda Yahya 
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Lebih 1,000 keluarga Orang Asli Suku Temiar di lima pos pedalaman bersyukur dan berterima kasih kepada agensi terutama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kerana menghantar bantuan makanan kepada mereka yang terputus hubungan akibat banjir.

Lima pos itu ialah Pos Balar, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Simpor dan Pos Gob membabitkan 56 kampung yang terkesan dengan kejadian banjir dan tanah runtuh.

Penduduk Orang Asli Kampung Jader, Pos Simpor, Ami Along, 59, berkata, sumbangan yang diberikan itu sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

Katanya, dengan jumlah keluarga yang ramai, bekalan itu hanya boleh bertahan hampir seminggu.

"Sejak berlaku kejadian tanah runtuh lebih seminggu lalu, kami tidak dapat keluar untuk membeli bahan makanan di Kuala Betis. Jadi kami terpaksa makan apa yang ada saja.

"Walaupun kami ada menanam padi sendiri, namun belum sempat menuai hasil, tanaman sudah dirosakkan gajah liar.

"Terima kasih kepada pihak Jakoa dan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sudi menghantar bantuan makanan kepada kami penduduk di pedalaman," katanya ketika ditemui di Kampung Jader, Pos Simpor.

Sementara itu, Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba, Amir Fitri Salim berkata, dia bersama pembantu juruterbang Ahmad Hafiz Sulaiman bersama 17 lagi kru membuat 16 penerbangan sepanjang operasi terbabit.

Katanya, penerbangan ke perkampungan Orang Asli di Pos Simpor semalam adalah destinasi terakhir menggunakan pesawat helikopter jenis Mi-171.

"Secara keseluruhannya pada hari pertama kita berjaya menghantar 4,731 kilogram, hari kedua 6,270 kilogram, hari ketiga 5,510 kilogram dan hari keempat, 4,290 kilogram.

"Alhamdulillah operasi berjalan dengan lancar dan diselesaikan sepenuhnya sebelum anggota berlepas pulang ke Pangkalan Udara Pangkalan Wilayah Tengah hari ini," katanya.

Amir Fitri berkata, misi yang bermula pada Isnin lalu turut mendapat kerjasama Jakoa, Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 12:36 PM