KEADAAN rumah di Kampung Bujuk, Pos Bihai yang dirosakkan gajah liar pada minggu lalu. FOTO Ihsan penduduk
KEADAAN rumah di Kampung Bujuk, Pos Bihai yang dirosakkan gajah liar pada minggu lalu. FOTO Ihsan penduduk
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Kampung Bujuk di Pos Bihai di sini, kini kosong selepas sembilan keluarga membabitkan 27 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar terpaksa meninggalkan penempatan itu apabila rumah mereka dirosakkan gajah liar sejak Rabu lalu.

Mereka kini tinggal di rumah saudara mara di kampung berdekatan selepas rumah yang dibuat daripada buluh itu dirosakkan haiwan liar itu.

Turut terkesan beberapa rumah penduduk di Kampung Hak yang menyaksikan kejadian terbaharu berlaku semalam.

Penduduk Kampung Bujuk, Asu Pandak, 65, berkata keluarganya terpaksa menumpang di rumah saudara di Kampung Tendrik, Pos Bihai kerana rumah dirosakkan gajah liar.

Katanya, dalam kejadian kira-kira 5 pagi Rabu minggu lalu itu dia dan keluarga bernasib baik kerana sempat melarikan diri ke kampung berhampiran.

Menurutnya, sebelum ini gajah terbabit hanya merosakkan tanaman penduduk seperti pisang dan ubi kayu yang menjadi sumber utama makanan.

"Tapi Rabu minggu lalu gajah liar terbabit mula merosakkan rumah penduduk sehingga menimbulkan ketakutan kepada kami.

"Jadi kami terpaksa berpindah ke rumah saudara di Kampung Tendrik, Pos Bihai untuk keselamatan kami," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Manakala menurut Apek Asud, 39, kejadian yang berlaku semalam di Kampung Hak menyebabkan beberapa rumah rosak teruk.

"Kini di Pos Bihai bukan hanya ancaman harimau belang yang masih berkeliaran tetapi juga gajah liar yang turut merosakkan rumah dan tanaman penduduk.

"Adakalanya kami rasa putus asa dan tidak tahu ke mana mahu adukan masalah ini. Tinggal di pedalaman, berhadapan pula dengan ancaman haiwan liar. Sejak pembukaan hutan untuk aktiviti pembalakan, habitat haiwan liar semakin berkurang dan bertindak mencari makan di kawasan perkampungan Orang Asli.

"Boleh dikatakan kiri kanan kawasan Pos Bihai ini terdapat kawasan pembalakan," katanya.

Katanya, dia berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berwajib dan agensi berkaitan bagi membantu masyarakat Orang Asli di pedalaman.

"Jangan sampai berlaku perkara yang tidak diingini kepada kami barulah nak masuk dan bertanyakan khabar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 2:39 PM