Kelibat gajah liar yang sempat dirakam penduduk Kampung Suma, Pos Bihai, di sini semalam. FOTO Ihsan Penduduk
Kelibat gajah liar yang sempat dirakam penduduk Kampung Suma, Pos Bihai, di sini semalam. FOTO Ihsan Penduduk
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kemunculan gajah liar yang merosakkan tanaman dan sumber makanan di beberapa penempatan Orang Asli menimbulkan kebimbangan.

Antara pos yang terlibat adalah Pos Bihai, Pos Simpor, Pos Pasik serta Pos Lebir dan kemunculan gajah liar ini juga turut di kesan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi, Pos Lebir dan SK Sri Permai, Pos Pasik.

Dalam kejadian terbaharu semalam, kelibat 'abang besar' itu sempat dirakam penduduk Kampung Suma, Pos Bihai yang sebelum ini sudah merosakkan rumah dan tanaman di Kampung Bujuk pos yang sama.

Penduduk mendakwa susulan serangan gajah liar itu, kini penempatan berkenaan seperti padang disebabkan semua tanaman musnah dan rumah roboh.

Menurut penduduk, Asu Pandak, 65, serangan gajah liar dikesan sejak 18 hari lalu di Kampung Bujuk dan Kampung Suma menyebabkan penduduk tidak berani untuk pulang ke rumah mereka.

"Sejak kejadian pada 4 Januari lalu, penduduk kini tinggal di dalam bangsal yang didirikan diatas bukit dan ada yang menumpang di rumah saudara.

"Malah sejak itu juga kami sudah terputus sumber makanan. Sebelum ini kami terpaksa berjimat dengan bantuan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pada awal bulan.

"Tapi kini kami memang sudah terputus bekalan makanan kerana hasil bercucuk tanam sudah musnah. Kami harap ada bantuan makanan yang diberikan akibat serangan gajah ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Guru SK Sri Permai, Ahmad Najmuddin Ja'afar, 33, pula memaklumkan kemunculan gajah di kawasan sekolah menimbulkan kebimbangan dan insiden semalam adalah yang ketiga berlaku di situ.

"Kejadian pertama berlaku pada Rabu minggu lalu apabila gajah liar ini muncul berhampiran rumah guru kira-kira 11.30 malam dan semalam pun gajah terbabit ada datang di sekitar sekolah.

"Namun tindakan pantas cikgu-cikgu dan orang kampung, gajah terbabit berjaya dihalau.

"Apabila kemunculan ia semakin kerap bermula Rabu lalu, kelmarin dan semalam, kami rasa takut dan bimbangkan keselamatan kami di sini," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera dan penyelesaian yang lebih baik buat penduduk kampung dalam menghadapi konflik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 10:51 AM