FAHMI pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
FAHMI pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan sebarang isu berkenaan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh Lembaga Pengampunan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak boleh mendahului proses terbabit kerana ia adalah hak dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

"Kita tidak bincangkan dalam mesyuarat hari ini tetapi lazimnya kita tidak boleh mendahului proses (Lembaga Pengampunan).

"Jadi kita serahkan kepada Lembaga Pengampunan (berhubung isu pengampunan Najib)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Lembaga Pengampunan dijadual membuat keputusan berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan pada akhir bulan ini.

Difahamkan, permohonan itu akan didengar hujung bulan ini, selepas tertangguh pada mesyuarat lembaga berkenaan bulan lalu.

Mengenai gesaan Najib supaya dokumentari 'Man On The Run' dihalang tayang di Malaysia, Fahmi berkata, beliau belum menerima sebarang maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Saya difahamkan perkara itu dibangkitkan dalam mahkamah, sekiranya ada, kita akan melalui proses itu, tetapi pada waktu ini, saya belum terima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 5:28 PM