ARSHAT (dua dari kiri) bersama penduduk kampung ketika ditemui di Kampung Kepis Ulu. FOTO Azrul Edham
ARSHAT (dua dari kiri) bersama penduduk kampung ketika ditemui di Kampung Kepis Ulu. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Gangguan ketukan pintu di Kampung Kepis Ulu di sini, mengganas semula malam tadi apabila 12 rumah menjadi mangsa gangguan.

Berbanding malam sebelumnya, hanya tiga rumah yang mengalami gangguan ketukan pintu bermula pada waktu lewat malam hingga subuh.

Wakil penduduk, Mohd Arshat Yusof, 66, berkata, setakat 12 tengah malam tadi, sebanyak enam rumah dilaporkan diganggu ketukan misteri berkenaan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ada penghuni yang meminta dipindahkan ke rumah saudara selepas diganggu bunyi ketukan misteri itu.

"Rumah itu dihuni ibu tunggal bersama dua anak lelaki. Mereka ketakutan selepas pintu rumah diketuk beberapa kali.

"Kami bantu bawa keluarga ini ke rumah sepupunya yang jauh dari situ. Tapi agak mengejutkan apabila dia hubungi kami dan maklumkan rumah sepupunya itu pula diganggu ketukan misteri," katanya.

Menurutnya, ketukan misteri itu mula mengganggu penduduk seawal 10.48 malam Selasa lalu dan berakhir sebelum azan Subuh.

"Kami sedang menunggu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada salah sebuah rumah penduduk yang menjadi mangsa bagi mengenal pasti punca," katanya.

Arshat berkata, pintu rumah yang mempunyai CCTV itu diketuk sebanyak 15 kali kira-kira 3 pagi.

"Saya ada tanya dengan seorang penduduk kampung yang mengamalkan perubatan tradisional dan dia memaklumkan besar kemungkinan ada yang memuja 'benda' ini.

"Dia kini tinggal di Kuala Lumpur dan Insya-Allah nanti dia akan balik untuk tengok apa berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 3:59 PM