Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Mujur mayat itu bukan Bella," kata Norhisham Samsusah, 36, susulan penemuan mayat seorang wanita tanpa kepala, tangan dan kaki dalam tong sampah di longkang tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka akhir bulan lalu.

Norhisham, adalah kakak kepada Mila Sharmila, 32, yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu selepas dilaporkan keluar rumah bersama teman lelaki untuk ke kedai dobi.

Menurutnya, sebaik berita penemuan mayat menyayat hati itu, dia dihujani dengan pelbagai mesej dan pertanyaan daripada warga maya.

"Ramai warga maya beritahu saya mereka sangka mayat itu adalah Bella. Namun, kami lega apabila dimaklumkan polis bahawa mayat wanita ditemui itu bukan adik saya.

"Kami sekeluarga gelisah bila terbaca berita mengenai penemuan mayat itu. Tapi, mujurlah polis menghubungi saya dan memberitahu perkara sebenar," katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya lagi, setiap kali ada berita mengenai penemuan mayat, ahli keluarganya mula gelisah berikutan adiknya itu belum ditemukan sehingga kini.

"Harap dia (Bella) baik-baik dan masih hidup. Kami tidak tahu apa kesudahannya kerana sehingga kini belum ada perkembangan terbaru dimaklumkan pada kami.

"Kami pun buntu memikirkan berapa lama lagi Bella akan ditemukan. Kami harap dia dalam keadaan baik," katanya.

Bella yang juga ibu tunggal kepada dua anak berusia dua dan empat tahun belum ditemui selepas lebih tiga minggu dilaporkan hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 1:46 PM