LAPORAN Harian Metro terdahulu.
LAPORAN Harian Metro terdahulu.
Alias Abd Rani

Batu Pahat: Tindakan polis membebaskan teman lelaki Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella masih menjadi tanda tanya ahli keluarga wanita itu ketika usaha menjejakinya belum menemui noktah.

Lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 6 petang semalam selepas direman sejak 25 Disember lalu.

Kakaknya, Norhisham, 36, berkata, mereka juga terkejut sebaik dimaklumkan mengenai pembebasan teman lelaki adiknya berusia 24 tahun.

"Kami kecewa seolah-olah tiada keadilan untuk kami, sedangkan kami hanya mahu berjumpa Bella yang masih belum ada perkembangan ketika ini.

"Lagipun, dia orang terakhir bersama Bella, sebelum dilaporkan hilang pada keesokannya. Kami sendiri tidak tahu apakah kesudahan kes ini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam pada itu, timbul satu lagi misteri apabila pihak polis bertanyakan Norhisham mengenai individu memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz.

Norhisham berkata, polis bertanyakan padanya mengenai perkara itu selepas teman lelaki Bella memberitahu adiknya dibawa menaiki MPV terbabit selepas diturunkan di hadapan kedai tom yam di Jalan Kenanga.

"Mereka (polis) tanya saya kenal tak kawan teman lelaki Bella (menaiki Perodua Aruz). Dalam laporan dibuat teman lelakinya, dia memberitahu Bella menaiki MPV itu.

"Saya beritahu tak kenal dan apabila semakan dibuat melalui CCTV (kamera litar tertutup), tiada langsung pergerakan kenderaan yang dimaksudkan.

"Kami jadi pening adakah ia rekaan semata-mata atau ada sesuatu yang hendak disembunyikan," katanya dengan nada sedih.

Katanya, dia yakin teman lelaki Bella adalah individu terakhir yang dilihat bersamanya pada malam 14 Disember lalu sebelum hilang keesokannya.

Teman lelaki Bella ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana culik.

Berita berkaitan:

'Umi dah balik ke belum' - Anak Bella

Teman lelaki Bella dibebaskan

Saya nak jumpa dia hidup-hidup

Bella disyaki diculik, teman lelaki ditahan

Di mana Bella?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 4:37 PM