Kehilangan ibu tunggal, Mila Sharmila atau Bella sejak hampir dua minggu lalu masih menimbulkan misteri. FOTO Ihsan Pembaca
Kehilangan ibu tunggal, Mila Sharmila atau Bella sejak hampir dua minggu lalu masih menimbulkan misteri. FOTO Ihsan Pembaca
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Kehilangan ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella sejak hampir dua minggu lalu masih menimbulkan misteri meskipun pelbagai usaha dijalankan termasuk bantuan pihak polis bagi mengesan kedudukannya.

Ibu kepada seorang anak lelaki berusia empat tahun itu dilaporkan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam 14 Disember lalu dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap, untuk mencuci pakaian di kedai dobi.

Bagaimanapun, selepas tarikh itu dan sehingga kini, kelibat wanita terbabit terus hilang dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi, selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda saja.

Paling mengejutkan, pakaian yang diletakkan dalam bakul yang sepatutnya mahu dicuci di kedai dobi itu ditemui dalam rumah Bella pada keesokan hari selepas dia dilaporkan hilang.

Kehilangan Bella menyebabkan ahli keluarganya membuat dua laporan polis masing-masing pada 16 dan 18 Disember lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Kakaknya, Norhisham Samsusah, 36, berkata pihak polis meminta ahli keluarga yang dalam kebimbangan ini bersabar memandangkan siasatan mengenai kehilangan Bella masih berjalan.

Beliau berkata, dalam firasatnya, kehilangan adiknya itu seolah-olah ada sesuatu yang sukar diterjemahkan memandangkan kes ini bukan kes biasa orang hilang.

"Beberapa hari lalu, saya dimaklumkan oleh polis ada perkembangan mengenai Bella, cuma tidak dijelaskan secara lanjut apa yang dimaksudkan.

"Saya kenal adik saya dan ada kemungkinan, dia masih berada dalam daerah ini, cuma kami tak tahu di mana lokasinya.

"Baru-baru ini, polis ada meminta barang milik Bella seperti berus gigi untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Soga, di sini, hari ini.

Norhisham mendakwa, adiknya itu sebenarnya tidak menuju ke kedai dobi di Simpang Rantai, di sini, sebaliknya melencong ke arah lain bersama teman lelakinya berusia 24 tahun.

"Ini berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu yang tidak melihat langsung kelibat Bella pada hari kejadian.

"Malah, saya mendapat tahu teman lelakinya menurunkan Bella berdekatan sebuah kedai tom yam Thailand, di Jalan Kenangan, Kampung Bahagia kerana mereka bergaduh," katanya.

Norhisham berkata, kehilangan Bella membantutkan hasrat untuk pulang ke kampung ayah mereka di Kuala Selangor pada cuti sekolah ini.

Sementara itu, Norhisham berkata, mereka yang datang ke rumah Bella pada kira-kira 9.50 pagi 15 Disember itu terkejut melihat bakul berisi baju yang sepatutnya dibawa Bella untuk dicuci, tetapi berada dalam rumahnya.

"Disebabkan timbul persoalan berhubung penemuan baju kotor itu, kami menemui jiran Bella untuk memeriksa CCTV dan kelihatan teman lelakinya sedang mengangkat bakul berisi baju masuk ke dalam rumah Bella," katanya.

Beliau mendakwa, kira-kira empat minit kemudian, lelaki itu yang dilihat berseorangan terus beredar menaiki kereta Toyota Vios putih.

"Apa yang menimbulkan keraguan kami ialah pada hari terbabit (sehari selepas Bella hilang), kami menggunakan aplikasi penjejak telefon bimbit Bella dan lokasi terakhirnya menunjukkan dia ada di hadapan rumahnya.

"Bagaimanapun, kami tidak pasti sama Bella ada dalam kereta teman lelakinya ketika lelaki terbabit mengangkat bakul baju itu atau hanya telefon bimbit Bella saja yang dipegang lelaki terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 7:57 PM