MPKB-BRI menjalankan pemeriksaan terhadap lapan premis. FOTO ihsan MPKB-BRI
MPKB-BRI menjalankan pemeriksaan terhadap lapan premis. FOTO ihsan MPKB-BRI
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menjalankan pemeriksaan terhadap lapan premis di bandar ini yang dikenal pasti membabitkan warga asing.

MPKB-BRI menerusi kenyataan media berkata, tiga daripada premis berkenaan didapati menggunakan pekerja warga asing dan beroperasi tanpa lesen.

Katanya, perkara itu dikesan menerusi operasi yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam.

"Operasi dilakukan bermula jam 10 pagi di kawasan pusat bandar iaitu Jalan Hilir Pasar, Jalan Ismail, Jalan Dato Pati serta Pasar Pohon Pinang yang dikenal pasti menjadi pusat aktiviti warga asing menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

"Berdasarkan peruntukan Undang-Undang Kecil MPKB-BRI yang berkaitan serta syarat-syarat kelulusan lesen premis perniagaan yang diluluskan, kami hanya mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga Malaysia sama ada lesen premis perniagaan atau lesen penjaja di pasar awam," katanya.

Menurutnya, menerusi operasi berkenaan satu kompaun dikeluarkan dan 20 barang disita.

"Bagaimanapun tiada warga asing berniaga di pasar yang dikenal pasti," katanya.

Terdahulu, JIM Kelantan menahan 238 warga asing dalam pemeriksaan sempena Ops Kutip di sekitar pusat bandar di sini, semalam.

Lokasi serbuan dan pemeriksaan membabitkan kawasan Pasar Pohon Pinang, stesen bas lama dan sekitar Jalan Dato Pati yang didakwa dibanjiri warga asing sekali gus menimbulkan keresahan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 3:50 PM