GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) akan menjual semua baki simpanan baja milik pertubuhan itu di negeri ini bagi membayar sewa gudang yang gagal dilunaskan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

PPNS dalam satu kenyataan hari ini, berkata keputusan itu terpaksa diambil selepas Nafas tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung hutang yang dituntut PPNS.

Katanya, hasil jualan baja itu akan digunakan oleh PPNS untuk membayar semua tunggakan hutang kepada pemilik gudang serta bayaran untuk kerja lain yang berkaitan di antara PPNS dan Nafas.

"Keputusan ini terpaksa diambil oleh PPNS kerana pihak Nafas tidak menunjukkan sebarang komitmen dan kesungguhan untuk menyelesaikan perkara berbangkit.

"Tindakan ini juga bagi mengelakkan PPNS daripada terus menerus menanggung kerugian yang akan memberi kesan secara langsung kepada seluruh warga peladang di Sabah," katanya.

Menurut kenyataan itu, menerusi sepucuk surat kepada Pengurus Besar Nafas bertarikh 28 Disember 2023, PPNS memaklumkan sehingga tarikh surat itu, ia belum menerima apa-apa bayaran daripada Nafas berkaitan tuntutan tunggakan hutang sewaan gudang, kerja-kerja gudang dan kerja lain yang berkaitan di antara PPNS dan Nafas.

Menurutnya, pada 12 Julai lalu, Timbalan Pengurus Besar Nafas, Saripol Bahrin Karim dalam satu sesi perbincangan di antara PPNS dan Nafas menyatakan persetujuan untuk melunaskan segala hutangnya kepada PPNS.

"Beliau seharusnya bertanggungjawab dengan janjinya untuk menyelesaikan isu ini secara baik.

"Surat maklum balas daripada Pengurus Besar Nafas bertarikh 12 Disember lalu juga tidak menjawab perkara yang dibangkitkan PPNS dan tiada sebarang tindakan penyelesaian terhadap hutang itu.

"Pengurusan dan barisan Ahli Jemaah Pengarah Nafas perlu mengambil berat perkara ini, malah sikap segelintir pegawai Nafas dilihat gagal menjalankan fungsinya hingga menjejaskan pergerakan Pertubuhan Peladang keseluruhannya," katanya.

Katanya, perkara itu dapat dilihat melalui tindakan Pegawai Perolehan dan Pengurus Baja Nafas yang jelas mengetepikan Pertubuhan Peladang, khususnya PPNS apabila mengutamakan syarikat luar untuk mengendalikan gudang penyimpanan baja di Sabah.

Berdasarkan kenyataan itu, pihak Nafas dikatakan tidak memberi sebarang pengesahan berhubung kontrak Perkhidmatan Kerja-Kerja Pergudangan di Sabah, sedangkan perjanjian sewaan di antara PPNS dan pemilik gudang tamat hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 5:57 PM