ANWAR, gambar fail. FOTO NSTP
ANWAR, gambar fail. FOTO NSTP
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual turun bagi meninjau situasi banjir di pantai timur khususnya di Kelantan esok.

Perkembangan itu dimaklumkan sendiri Perdana Menteri dalam entri terbaru di Facebooknya hari ini, sambil menjelaskan situasi bah di negeri itu kini semakin membimbangkan.

"Insya-Allah esok saya akan turun ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi yang semakin membimbangkan di sana. Semoga Allah segera mengangkat bencana ini," katanya.

Selain tinjauan ke negeri itu, Anwar dijadual mendengar taklimat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan kerajaan negeri bagi mendapatkan gambaran semasa berkenaan kesiapsiagaan aset dan operasi menyelamat serta bentuk bantuan segera kepada mangsa banjir.

Beberapa kawasan di pantai timur terjejas teruk dengan banjir selepas ribuan kediaman penduduk di beberapa daerah khususnya di Kelantan dan Terengganu ditenggelami air sejak beberapa hari lalu.

Laporan dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Nadma memaklumkan, jumlah mangsa banjir dipindahkan di enam negeri yang terjejas banjir terus meningkat kepada 28,310 orang setakat 6 pagi tadi, berbanding 25,938 orang petang semalam dengan Johor dan Sabah menjadi negeri terbaru dilanda bencana itu.

Laporan itu memaklumkan Kelantan kekal dengan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 17,466 orang yang dipindahkan ke 89 pusat pemindahan sementara (PPS), meningkat daripada 15,145 orang yang ditempatkan di 92 PPS pada jam 4 petang semalam.

Antara daerah terjejas teruk dengan banjir di Kelantan termasuk Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah serta Gua Musang.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa sedikit menurun kepada 10,103 orang yang berlindung di 113 PPS berbanding 10,199 orang di 125 PPS petang semalam, begitu juga di Pahang yang merekodkan seramai 485 mangsa di sembilan PPS berbanding 590 mangsa di 13 PPS.

Selangor kekal dengan empat mangsa yang ditempatkan di PPS Kuala Langat, manakala dua negeri terbaru dilanda banjir, Sabah dan Johor masing-masing merekodkan seramai 169 mangsa di tiga PPS dan 83 mangsa di sebuah PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 3:13 PM