ZULKARTINI Hassan, 31, yang sedang berpantang, bersama suami dan anak mereka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual To'Deh, Rantau Panjang.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
ZULKARTINI Hassan, 31, yang sedang berpantang, bersama suami dan anak mereka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual To'Deh, Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Empat daerah di Selangor, Kelantan dan Johor terjejas banjir setakat 12 tengah hari tadi dengan 731 mangsa daripada 175 ketua isi rumah (KIR) ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi Selangor, menerusi pemantauan Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JPBN), banjir kilat yang berlaku di Kampung Budiman di daerah Petaling telah surut sepenuhnya.

Nadma memaklumkan kejadian itu berpunca daripada taburan hujan yang sangat lebat dalam masa singkat dan mengalir dari kawasan 'upstream' (kawasan pembangunan) ke kawasan 'downstream' (kawasan kampung).

"Sistem perparitan dan kolam takungan sedia ada tidak dapat menampung kadar air hujan, lalu mengalir ke kawasan penempatan penduduk. Dianggarkan sejumlah 50 kediaman terkesan dengan kejadian ini dan mangsa telah berpindah ke PPS di Masjid Al-Falah," menurut kenyataan itu.

Selain itu, agensi tersebut memaklumkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk), iaitu sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan Sungai Besut dan Sungai Setiu di Terengganu, Sungai Golok (Kelantan) serta Sungai Endau (Johor/Pahang), kejadian banjir boleh berlaku.

Nadma berkata, sekretariat JPBN Kelantan melaporkan beberapa kawasan di negeri itu mula dinaiki air, bagaimanapun keadaan terkawal dan selamat dengan semua penduduk yang terkesan dalam keadaan siap siaga dan akan berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.

Pada masa sama, Nadma memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) secara maya pada 11.45 malam tadi.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan membincangkan situasi terkini pengurusan banjir sejak bermulanya monsun timur laut pada 7 Nov lepas serta negeri-negeri yang terlibat.

"Persediaan awal di pihak JPBN dan Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah dari aspek sokongan aset, sumber manusia dan fasiliti PPS melancarkan lagi tindak balas menyelamat serta pemberian bantuan kepada mangsa yang terkesan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Nadma meminta penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa selain boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan Twitter @JPS InfoBanjir.

Orang ramai juga boleh muat turun aplikasi myCuaca di Google Play dan App Store bagi mendapatkan maklumat cuaca yang terkini serta sahih daripada MetMalaysia, selain diingatkan supaya peka dan patuh kepada arahan dikeluarkan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya diarahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 6:44 PM