Nurul Dahyatul (kiri) bakal jalani pembedahan hidung Januari depan.
Nurul Dahyatul (kiri) bakal jalani pembedahan hidung Januari depan.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Mangsa simbahan asid, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan akan menjalani pembedahan hidung bagi melancarkan pernafasan yang sempit kesan kejadian itu tiga belas tahun lalu pada 17 Januari depan.

Ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang berkata, Nurul Dahyatul, 21, akan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur di sini dan prosuder itu juga akan dilakukan secara berperingkat.

Menurutnya, mereka dibantu Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Kos untuk membeli tisu 'expander' sebanyak RM2,300 mendapat bantuan daripada Pejabat Maidam dan sebelum ni anak membuat rawatan di hospital swasta di Bangsar setiap bulan untuk suntikan dan laser di muka yang dibantu Teresa.

"Pembedahan di Hospital Kuala Lumpur akan membabitkan hidung anak untuk melancarkan pernafasannya yang sempit kesan kejadian itu. Alhamdulillah, saya bersyukur anak akan menjalani rawatan kerana memang itu yang kami harapkan selama ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mereka dimaklumkan prosedur dan rawatan untuk Nurul Dahyatul Fazlinda akan mengambil masa selama lebih setahun dan ia juga memerlukan kos untuk mereka datang ke Kuala Lumpur sepanjang tempoh itu.

"Insya-Allah kos akan dibantu pihak berkenaan (Teresa) cuma saya masih bimbang kos untuk kami kerana rawatan anak akan mengambil masa selain untuk tambahan membeli keperluan ubat untuk mukanya," katanya yang hanya bekerja sebagai peniaga gerai makanan.

Sebelum ini dilaporkan, Nurul Dahyatul Fazlinda bersama ibu, Che Ku Zaimah dan adik lelakinya, Muhammad Irfan Firdaus melecur akibat disimbah cuka getah oleh bapa kandung dalam kejadian jam 1.45 pagi pada 15 Ogos 2010.

Kejadian itu menyebabkan gadis berkenaan mengalami kecacatan di muka dan badan termasuk kedua-dua lubang hidung mengecut sekali gus mengganggu pernafasannya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 1:25 PM