NURUL Dahyatul Fazlinda Mat Haizam, 14. FOTO Nazdy Harun
NURUL Dahyatul Fazlinda Mat Haizam, 14. FOTO Nazdy Harun
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Kerajaan negeri akan membiayai sepenuhnya kos pembedahan plastik mangsa simbahan cuka getah, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizam, 14, yang dianggarkan menelan kos RM100,000.

Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri sedang menunggu keputusan daripada pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu mengenai keadaan mangsa selain mengenal pasti tempat terbaik untuk menjalankan pembedahan itu.

"Saya difahamkan dalam RM100,000 dan kita sedang menunggu saranan daripada doktor sama ada pembedahan di Kuala Lumpur atau ke luar negara.

"Kita menunggu cadangan daripada pihak hospital dan bagi pihak kerajaan, kita bersedia membiayai segala kos pelajar ini," katanya yang ditemui ketika melawat mangsa di rumahnya di Kampung Sekayu, di sini.

Turut hadir, isteri Ahmad Razif, Halina Zakaria; Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Datuk Rozi Mamat dan Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Selain itu, Ahmad Razif turut menyampaikan sumbangan raya seperti barangan keperluan harian dan duit raya kepada keluarga Nurul Dahyatul Fazlinda.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi pada 14 Ogos 2010, mangsa bersama ibu, Che Ku Zaimah Che Ku Awang,34; adik lelaki, Muhammad Irfan Firdaus,8, dan Minah Omar, 54, melecur akibat terkena simbahan cuka getah oleh bapa kandungnya selepas berlaku pertengkaran di rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 3:39 PM