NURUL Dahyatul Fazlinda bersama adiknya Muhammad Irfan Firdaus ketika ditemui di rumah neneknya.
NURUL Dahyatul Fazlinda bersama adiknya Muhammad Irfan Firdaus ketika ditemui di rumah neneknya.
Nazdy Harun


Hulu Terengganu: Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 14, mangsa simbahan cuka getah oleh bapa kandungnya sendiri enam tahun lalu mengakui dirinya agak gugup untuk bertemu dengan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Dr Vida.

“Saya amat gembira kerana akhirnya bakal bersemuka dengan idola yang selama ini hanya mampu dilihat di televisyen.

“Tidak sangka impian berjumpa dengan Dr Vida bakal menjadi kenyataan kerana saya sungguh mengagumi semangatnya,” kata.

Menurutnya, kesudian Dr Vida meluangkan masa bertemu dengannya akan menjadi kenangan paling indah dalam hidupnya selain harapannya untuk memulihkan parut di muka akibat kejadian simbahan cuka getah itu.

“Sebelum ini orang dapat melihat raut wajah saya yang tersenyum, tetapi di hati siapa yang tahu, itulah yang terpaksa dilalui sebelum ini kerana berasakan sudah tiada sinar untuk kembali pulih.

“Kehadiran Harian Metro ibarat satu rahmat bagi saya kerana selain dapat berjumpa Dr Vida, saya juga berasakan masih ada pihak yang mengambil berat mengenai yang dihadapi,” katanya yang tinggal bersama neneknya di Kampung Sekayu, di sini.

Menurutnya, dia semakin bersemangat dan berkeyakinan selain berharap Dr Vida dapat membantunya memulihkan raut wajahnya yang rosak itu.

Katanya, impiannya hanya ingin melihat wajahnya kembali pulih memandangkan masih remaja dan perjalanan hidupnya juga masih panjang.

Ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 35, berkata, anaknya yang lain iaitu Nurul Afiqah Alina, 16, Nurul Farisya Hidayu, 13, dan Muhammad Irfan Firdaus, 8, gembira apabila mengetahui Nurul Dahyatul Fazlinda akan bertemui idolanya, Dr Vida.

“Tiada ibu yang ingin melihat anaknya menderita dan berharap Nurul Dahyatul gembira dengan Dr Vida sudi meluangkan masa untuk bertemu dengannya.

“Terima kasih kepada semua pihak kerana sudi membantu keluarga saya dan hanya doa yang mampu saya hadiahkan kepada semuanya,” katanya.

Dr Vida bersetuju untuk meluangkan masa bagi merealisasikan hasrat remaja berkenaan dan dijadualkan bakal bertemu di Kota Bharu, Kelantan esok.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi pada 14 Ogos 2010 di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, remaja berkenaan bersama ibu dan adik lelakinya melecur akibat disimbah cuka getah oleh bapa kandungnya sendiri di rumah mereka selepas berlaku pertengkaran.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecacatan di muka dan badan termasuk kedua-dua lubang hidungnya mengecut sekali gus mengganggu pernafasannya.

Pada 5 Mac lalu, Nurul dengan kerjasama Harian Metro dan TV9 dibawa mendapatkan pemeriksaan bersama Perunding Pembedahan Plastik merangkap Pakar Bedah Kosmetik Pusat Perubatan Beverly Wilshire (PPBW) Dr M Nasir Zahari.

Dalam pertemuan itu, Dr M Nasir memaklumkan bahawa remaja berkenaan perlu melalui empat peringkat rawatan membabitkan beberapa organ yang terjejas akibat terkena simbahan cuka getah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 10:33 AM