Laporan Harian Metro lalu.
Laporan Harian Metro lalu.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Berang: "Saya berhasrat mahu melakukan pembedahan bagi memudahkan saya bernafas. Tindakan itu bukan semata-mata mahu kelihatan cantik atau malu dengan parut di wajah ini," kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 21.

Dia yang mesra dengan panggilan Lin pernah melalui saat sukar dalam hidup selepas menjadi mangsa simbahan asid oleh bapa kandung, tiga belas tahun lalu.

Menurutnya, dia tidak pernah berasa terpinggir dengan keadaan wajahnya berikutan sokongan keluarga dan rakan di sekeliling.

"Sejujurnya saya boleh terima keadaan wajah saya kerana saya betul-betul reda dengan kejadian itu. Cuma saluran hidung saya semakin sempit. Akibatnya saya sukar bernafas terutama ketika selsema dan demam.

"Atas sebab itu, saya amat berharap bantuan pihak yang prihatin bagi membolehkan pembedahan dilakukan," katanya yang tinggal di Kampung Sekayu, di sini, semalam.

Harian Metro baru-baru ini menyiarkan perkembangan dan luahan hati Nurul Dahyatul Fazlinda yang mengakui tidak pernah menyimpan dendam terhadap bapanya.

Malah dia dan adik beradik lain sangat menyayangi lelaki itu.

Nurul Dahyatul Fazlinda berkata, selepas perkembangan kisahnya disiarkan akhbar, ramai yang memberi sokongan dan memujinya kerana tidak berdendam dengan bapa.

Katanya, ada juga yang prihatin dengan hasratnya untuk melakukan pembedahan dan dia berharap usaha itu akan berhasil dalam masa terdekat.

Sebelum ini dilaporkan, gadis itu bersama ibu, Che Ku Zaimah Che Ku Awang dan adik lelakinya, Muhammad Irfan Firdaus melecur akibat disimbah cuka getah oleh bapa kandung dalam kejadian jam 1.45 pagi pada 15 Ogos 2010.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecacatan di muka dan badan termasuk kedua-dua lubang hidung mengecut sekali gus mengganggu pernafasannya.

Bagi individu yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 1150041000040457 atas nama Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 5:40 PM