FARAH Adnan memberi informasi kepada salah seorang pegawai bomba ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Petai Dusun, Baroh Pial, malam tadi. FOTO Syaherah Mustafa
FARAH Adnan memberi informasi kepada salah seorang pegawai bomba ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Petai Dusun, Baroh Pial, malam tadi. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: "Saya tidak dapat tidur malam tadi dan melakukan solat hajat dengan harapan semoga anak saya, Damia, segera ditemukan," luah Farah Adnan, 32.

Farah adalah ibu kepada Nur Damia Qaisara Mohd Sabri, 11, yang hilang selepas terjatuh di sungai Kampung Petai Dusun, Baroh Pial di sini, 6.30 petang semalam.

Katanya, dia pulang ke rumah selepas dinasihati suami, Mohd Sabri Mohd Noor, 33, selain perlu menjaga dua lagi anak berusia dua dan tujuh tahun kerana kediamannya kini dilanda banjir.

"Tiada apa yang mampu saya lakukan selain memohon pada Yang Maha Esa supaya Damia segera ditemukan. Setiap kali memikirkan nasib anak saya, air mata ini mengalir, dan masih berharap semoga dia ditemukan selamat.

"Saya turut mendapat perkongsian video terakhir dia (Damia) bermain air semalam, wajahnya nampak gembira dan teruja, malah dia serta rakannya yang ditemukan meninggal dunia, Siti Aisyah, 11, turut menyanyi kegembiraan.

"Dugaan bagaikan bertimpa-timpa, sudahlah anak masih belum ditemukan, kediaman saya pula dinaiki air separas 0.7 meter dan biasanya kami sekeluarga akan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial untuk berlindung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan, dalam kejadian 6.30 petang itu, Siti Aisyah yang juga murid perempuan tahun lima ditemukan lemas dan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Tanah Merah (HTM).

Manakala rakannya, Damia masih hilang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal@Jainal Madasin, ketika dihubungi berkata, seramai enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang serta empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terbabit dalam misi menyelamat.

"Operasi mencari dan menyelamat disambung hari ini bermula jam 8 pagi selepas ditamatkan tengah malam tadi susulan faktor keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 9:06 AM