OPERASI mencari Nur Damia Qiasara, 11, yang dikhuatiri lemas di sungai Kampung Petai Dusun, jam 6.30 petang. FOTO Syaherah Mustafa
OPERASI mencari Nur Damia Qiasara, 11, yang dikhuatiri lemas di sungai Kampung Petai Dusun, jam 6.30 petang. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: "Saya lihat Damia dan Aisyah berpegangan tangan terjun ke sungai sebelum mereka dilihat 'tenggelam timbul' dan hilang begitu sahaja," kata Nurin Natasha Qistina Mohd Fairul, 11.

Nurin adalah salah seorang saksi kejadian murid perempuan Tahun Lima, Siti Aisyah Mahzi yang ditemukan lemas, manakala rakannya, Nur Damia Qiasara Mohd Sabri, masih hilang selepas terjatuh di sungai Kampung Petai Dusun, di sini, jam 6.30 petang hari ini.

Katanya, dia sendiri terkejut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan sebelum memanggil bapa Nur Damia, Mohd Sabri Mohd Noor, 33, untuk memberitahu mengenai kejadian.

"Mereka berdua memang rakan baik yang selalu bersama-sama. Saya sudah melarangnya mereka untuk tidak terjun kerana bimbang melihat arus yang deras susulan sekarang adalah musim tengkujuh.

"Mungkin kerana teruja, mereka tidak mendengarnya dan terus terjun ke sungai ini.

"Tiada langsung kedengaran suara meminta tolong sebaliknya mereka terus dibawa arus sekelip mata.

"Saya sangat sedih apabila dimaklumkan Siti Aisyah sudah tiada kerana mereka berdua juga adalah sahabat baik saya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sungai Kampung Petai Dusun, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang murid perempuan Tahun Lima ditemukan lemas, manakala rakannya masih hilang selepas terjatuh di sungai Kampung Petai Dusun, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 11:57 PM