NOOR Azam menyiram air dan menabur bunga mawar di pusara ibunya. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
NOOR Azam menyiram air dan menabur bunga mawar di pusara ibunya. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Ibu kepada Pengarang Berita Kanan Harian Metro, Noor Azam Ab Aziz meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis pagi tadi.

Noor Azam yang juga anak keempat daripada tujuh beradik berkata, ibunya, Napsiah Mohd Yasin, 75, meninggal dunia di rumah keluarga kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, Allahyarham mula mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Ayer Keroh, sejak dua minggu lalu dan ditahan di Unit Rawatan Rapid (ICU) akibat komplikasi kencing manis.

Bagaimanapun, katanya, semalam doktor memberi kebenaran mereka membawa Allahyarham pulang untuk dijaga ke rumah.

"Pagi tadi saya dan adik-beradik lain sempat solat Subuh dan mengaji al-Quran bersama arwah.

"Namun selepas mandi pernafasannya mengalami masalah kerana kadar oksigen dalam badan turun mendadak sebelum tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Kampung Pegoh, di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, kakitangan perubatan yang menjalankan pemeriksaan mengesahkan ibunya sudah meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Masjid An-Najwan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pegoh, di sini, selepas solat Asar.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir adalah Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad.

Allahyarham mempunyai tujuh anak dan 14 cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 9:21 PM