TUAN Mohd Asri (enam dari kiri belakang) dan Mahmood (lima dari kiri belakang) bergambar bersama wakil guru dan murid. FOTO Khairunisah Lokman
TUAN Mohd Asri (enam dari kiri belakang) dan Mahmood (lima dari kiri belakang) bergambar bersama wakil guru dan murid. FOTO Khairunisah Lokman
Rizanizam Abdul Hamid


"WALAUPUN nampak kecil, bantuan ini sangat bermakna buat keluarga lebih-lebih lagi buat anak yang dapat kelengkapan sekolah baharu," kata operator kilang, Muhammad Shahrizal Kamil, 35.

Muhammad Shahrizal adalah antara ibu bapa terhadap 150 murid daripada enam sekolah rendah di daerah ini yang menerima bantuan keperluan persekolahan sempena program Titipan Kasih Harian Metro 2019 (TKHM 2019) Kembali ke Sekolah bersama DRB-HICOM di Alor Gajah, semalam.

Bapa kepada tiga anak berusia lapan, lima dan empat tahun itu berkata, dia terharu kegembiraan melihat anaknya, Ainnul Syazwina, 8, mendapat pelbagai keperluan baharu sekolah bernilai RM120.

"Mungkin bagi sesetengah orang, RM120 itu kecil, tapi besar maknanya buat anak yang akan masuk Tahun 3 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buloh, Alor Gajah Januari depan.

"Terima kasih kepada Harian Metro dan DRB-HICOM atas program yang sangat memberi manfaat kepada kami," katanya ketika ditemui pada program itu.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif (Berita dan Digital) Harian Metro (HM), Noorsham Md Salleh, Pengarang Eksekutif (Komersial) HM merangkap Pengerusi Jawatankuasa TKHM, Husain Jahit dan Pengarang Berita HM Noor Azam Abd Aziz.

Turut sama, Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan, DRB-HICOM Berhad Mahmood Razak dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Melekek Nor Aslina Kamarudin.

Enam sekolah yang mendapat bantuan program berkenaan adalah dari SK Melekek yang dipilih menjadi tuan rumah, SK Simpang Empat, SK Ayer Pa'abas, SK Sungai Buloh, SK Pegoh, dan SK Cherana Puteh.

Terdahulu, pada sebelah pagi, mereka dibawa membeli belah di Pasaraya Tesco, Cheng dengan setiap murid ditaja membeli barangan keperluan sehingga RM120.

Pemandu lori, M Murugan, 39, turut berkongsi perasaan sama sambil berharap lebih banyak syarikat dapat melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbentuk demikian.

"Jika semua syarikat besar dapat berganding bahu menjayakan program seperti ini saban tahun, saya percaya rakyat tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 3:25 PM