ABANG Johari ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Penghargaan Kerjasama Vendor Sarawak Dalam Industri Minyak Dan Gas 2024. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Penghargaan Kerjasama Vendor Sarawak Dalam Industri Minyak Dan Gas 2024. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg mencabar pihak yang tidak berpuas hati dengan kerjasama antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) supaya membawanya ke mahkamah.

Abang Johari berkata, kerjasama dua syarikat terbabit dalam industri minyak dan gas berlandas di Sarawak dibuat berlandaskan undang-undang.

Justeru katanya, tidak timbul isu Sarawak cuba memonopoli industri minyak dan gas menerusi Petros dengan mengambil hak Petronas.

"Saya mengulangi perkara ini supaya orang ramai faham bahawa apa yang dilakukan Sarawak ini adalah berlandaskan undang-undang dan tidak timbul isu siapa abang atau adik (antara Petronas dan Petros).

"Sarawak menubuhkan syarikat petroleum sendiri dengan berbekalkan pengalaman yang cukup panjang dalam industri minyak dan gas sejak 1910 dan kemudian bekerjasama dengan Petronas yang wujud sejak 1974.

"Kalau ada yang tidak berpuas hati, bawa ke mahkamah dan biarkan mahkamah untuk memutuskannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penghargaan Kerjasama Vendor Sarawak Dalam Industri Minyak dan Gas di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi serta Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) Datuk Bacho Pilong.

Seramai 46 vendor Petronas di Sarawak menerima penghargaan pada majlis itu.

Mengulas lanjut ketika ditemui selepas majlis itu, Abang Johari berkata, mengikut lima undang-undang yang ada, ada beberapa perkara penting dalam industri minyak dan gas membolehkan Petros memainkan peranan penting.

Lima undang-undang yang meletakkan industri minyak dan gas di bawah bidang kuasa Sarawak ialah Kanun Tanah, Ordinan Perlombongan Minyak 1958, Ordinan Pengagihan Gas 2016, Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Petros dan Petronas bekerjasama dalam lingkungan undang-undang itu yang mana Sarawak mempunyai hak (dalam industri minyak dan gas).

"Sarawak tidak melanggar semangat kerjasama dengan Petronas itu dan saya mengulangi perkara ini bagi menjelaskan keadaan sebenar sebab kita lihat pelbagai dakwaan yang tidak betul di media sosial berhubung pembabitan Sarawak dalam industri minyak dan gas menerusi Petros," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 6:31 PM