FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kebanyakan kes kematian membabitkan tahanan di penjara, lokap mahupun depoh imigresen adalah disebabkan masalah kesihatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh 1 Januari hingga 18 Jun lalu, sebanyak 20 kematian direkod di depoh imigresen yang terdiri daripada orang Bangladesh, India, Iraq, Myanmar, Filipina, Thailand dan Indonesia.

"Melalui laporan kesihatan pemeriksaan bedah siasat, semuanya adalah berkaitan dengan kes masalah kesihatan," katanya pada sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin berkata, bagi kematian di dalam lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, 24 kematian dicatatkan bagi tahun 2022 sehingga 20 Mei 2024.

Katanya, kematian dalam lokap polis ini melibatkan masalah kesihatan seperti Covid-19, tuberkulosis (tibi), serangan jantung dan paru-paru berair.

Bagaimanapun katanya, tiada kematian membabitkan tahanan menggantung diri, bunuh diri atau dicederakan oleh pihak polis.

"Segala macam (kematian) adalah daripada masalah sakit. Kebanyakannya adalah penagih dadah tegar yang dimasukkan ke dalam lokap," katanya.

Bagi kematian dalam penjara pula, beliau memaklumkan 40 kes dicatatkan.

"Penjara sekarang ada 84,000 orang, yang ada di luar dan dalam... ada lebih kurang 80,000. Angka kematian setakat ini adalah 40 kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 6:25 PM