FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Bangladesh di Jalan Travers, dua minggu lepas.

Warga Bangladesh Mohammad Milon Miah, 36, dan warga tempatan Kader Batcha @ Kader Oli Mohamed Shariff, 64, didakwa melakukan perbuatan itu ke atas Apu Chandra Barmon pada 7.39 pagi 16 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Illi Marisqa menetapkan 29 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan mendengar laporan forensik.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 5:29 PM