GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Khairulmizan Yahya

Kuantan: Dua wanita rugi lebih RM380,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang mendakwa nama digunakan dalam tuntutan palsu dan penerima bungkusan barang terlarang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian bermula selepas mangsa masing-masing di Maran dan Temerloh menerima panggilan telefon pada November dan Januari lalu.

Katanya, kes pertama membabitkan mangsa yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Pertanian berusia 45 tahun yang dihubungi suspek mendakwa pegawai insurans.

"Suspek mendakwa mangsa ada membuat tiga tuntutan palsu sebelum talian disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

"Dia juga didakwa suspek terbabit kes pengubahan wang haram dan kesalahan rasuah serta telah diminta membayar ikat jamin RM400,000 untuk menyelesaikan kes.

"Disebabkan takut, mangsa mendedahkan semua maklumat akaun perbankannya sebelum mendapati wang simpanannya sebanyak RM215,100 hilang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa membuat pemeriksaan dengan pihak bank dan mendapati wang simpanannya dipindahkan ke akaun bank lain tanpa pengetahuannya menerusi 33 transaksi.

Ramli berkata, mangsa kedua yang berusia 37 tahun terpedaya selepas menerima panggilan telefon individu menyamar sebagai pekerja syarikat kurier pada 13 Januari lalu.

Katanya, mangsa didakwa menerima barangan terlarang antaranya kad sim, kad ATM dan buku cek, sebelum panggilan disambung kepada 'pegawai polis' yang mendakwa nama mangsa telah disalah guna untuk membuka akaun bank bagi melakukan jenayah.

Menurutnya, mangsa kemudian diberi pautan yang memerlukan dia mengisi maklumat perbankan selain diminta memindahkan semua wang simpanan di Tabung Haji ke akaun bank lain.

"Pada Selasa lalu, mangsa mendapati wang simpanannya telah berkurangan sebanyak RM165,090 dan terdapat lapan transaksi pemindahan dilakukan," katanya.

Ramli menasihatkan orang ramai untuk menyemak dengan polis jika menerima panggilan telefon meragukan dan tidak berkongsi maklumat perbankan dengan pihak ketiga supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 1:03 PM