GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Tindakan seorang warga emas yang akur arahan 'pegawai National Scam Response Centre (NSRC)' untuk meletakkan kad mesin pengeluar wang automatik (ATM) di sebuah lokasi akhirnya mengakibatkan dia kerugian RM600,000.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita tempatan berusia 70 tahun kelmarin yang mendakwa dia menjadi mangsa penipuan phone scam.

Beliau berkata, mangsa mendakwa pada awal Mei lalu, dia menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa sebagai pegawai NSRC.

Katanya, pegawai berkenaan mendakwa dia memiliki suatu rekod terbabit dengan jenayah penipuan.

"Mangsa dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis memaklumkan terdapat sebuah akaun bank dibuka atas namanya namun dinafikan mangsa.

"Suspek meyakinkan mangsa untuk memberikan butiran semua akaun bank yang dimiliki bagi tujuan siasatan.

"Mangsa mengikut arahan suspek dengan meletakkan kad ATM miliknya di lokasi diarahkan serta berkongsi nombor pin namun mangsa tidak bertemu dengan suspek," katanya.

Beliau berkata, mangsa juga diarahkan memindahkan wang dari semua akaun bank dimiliki ke akaun lain bagi tujuan siasatan.

Menurutnya, pada pertengahan Jun, mangsa membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati wang berkurangan hampir RM600,000 serta didapati berlaku transaksi pengeluaran menerusi ATM dan pindahan kepada penama tidak dikenali.

"Mangsa yang menyedari tertipu seterusnya membuat laporan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan dan denda," katanya.

Beliau berkata, NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan berbentuk komunikasi sehala saja.

Menurutnya, NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu.

"Oleh itu, sebarang panggilan yang mendakwa dari pihak NSRC adalah penipuan.

"Bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan atas talian, mangsa digesa segera menghubungi NSRC di talian 997 dengan kadar segera agar peluang untuk membuat sekatan terhadap wang dipindahkan lebih tinggi.

"Selain itu, dapatkan juga maklumat terkini berkaitan modus operandi jenayah komersil melalui Facebook (FB), Instagram dan TikTok Jabatan Siasatan Jenayah Komersil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 1:28 PM