KEADAAN kereya Perodua Bezza, Nissan Almera dan Honda City yang terbabit dalam nahas di Batu 3, Jalan Bernam, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereya Perodua Bezza, Nissan Almera dan Honda City yang terbabit dalam nahas di Batu 3, Jalan Bernam, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Nahas tiga kenderaan yang mengorbankan seorang pengantin baharu di Kilometer 53 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Batu 3, Jalan Bernam, di sini, semalam, akibat kereta dipandu gagal dikawal dan masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian jam 10.50 malam itu menyebabkan mangsa berusia 20-an yang memandu Perodua Bezza meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara, pemandu Honda City iaitu wanita berusia 30-an patah kaki kanan, manakala pemandu Nissan Almera iaitu lelaki berusia 50-an hanya cedera ringan.

"Siasatan mendapati pemandu Perodua Bezza dari arah Klang ke Teluk Intan dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan Honda City.

"Akibat pelanggaran itu, Perodua Bezza terbalik dan masuk ke lorong kanan jalan.

"Pada masa sama, datang Nissan Almera yang gagal mengelak lalu melanggar sisi kanan kereta terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, pelanggaran itu juga mengakibatkan Perodua Bezza terseret sejauh kira-kira 11 meter dan pemandunya mengalami kecederaan parah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut, manakala lapan cedera dalam nahas tiga kenderaan di Batu 3, Jalan Bernam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 4:37 PM