PERODUA Bezza dinaiki empat beranak remuk selepas bertembung kereta di Kilometer 114, Jalan Kuantan-Segamat. FOTO IHSAN JBPM
PERODUA Bezza dinaiki empat beranak remuk selepas bertembung kereta di Kilometer 114, Jalan Kuantan-Segamat. FOTO IHSAN JBPM
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PASANGAN suami isteri maut manakala enam lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 114 Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, Rompin, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam, mangsa Sidah Ibrahim, 55, yang juga penumpang belakang kereta jenis Perodua Bezza maut di tempat kejadian sementara suaminya, Salleh Awang Kechik, 59, duduk di bahagian penumpang hadapan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Nissan Sentra dipandu dari arah Segamat, Johor memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel kereta dinaiki pasangan berkenaan.

Katanya, akibat pelanggaran itu, Perodua Bezza dari arah Kuantan dipandu anak pasangan itu, Siti Aisyah, 27, hilang kawalan sebelum terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar kereta jenis Honda Civic.

“Perodua Bezza itu kemudian terbabas ke curam di bahu jalan kanan menghala Segamat.

“Enam mangsa turut cedera dan dirawat di Hospital Muadzam Shah sementara pemandu Nissan Sentra tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Kamarulzaman berkata, Siti Aisyah mengalami kecederaan di muka manakala adiknya, Muhammad Zaim, 10, cedera di badan.

Katanya, turut cedera pemandu Honda Civic, Mohd Faiz Ibrahim, 39, patah bahu kanan manakala isterinya, Siti Noraizan Najid, 38, cedera di muka dan dua anak mereka, Muaz Azfar, 5, Filza Alia, 3, masing-masing cedera di badan.

“Siasatan di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan gelap dan tidak berlampu selain jalan agak berselekoh,” katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa sudah selesai dibedah siasat dan diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan pengebumian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 2:56 PM