ANAN Saleng dan Ruhmazulaili Abu Hasan menunjukkan gambar terakhir Siti Norfatihah yang maut dalam kemalangan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ANAN Saleng dan Ruhmazulaili Abu Hasan menunjukkan gambar terakhir Siti Norfatihah yang maut dalam kemalangan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Kakitangan farmasi yang maut tercampak keluar dari keretanya susulan nahas dua kenderaan di Kilometer 53, Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, malam kelmarin, bakal melangsungkan pernikahan Aidilfitri tahun ini.

Mangsa, Siti Norfatihah Anan, 24, sebelum itu sudah mengikat tali pertunangan pada Januari lalu.

Bapa Siti Norfatihah, Anan Saleng, 52, berkata, dia tidak menyangka anak ketiga dari 10 beradik itu `pergi' dalam keadaan mengejut.

Bagaimanapun dia dan isteri, Ruhmazulaili Abu Hasan, 51, reda dengan ketentuan Ilahi walaupun berat untuk mempercayai kehilangan anaknya itu.

Peniaga kedai makan itu berkata, anak perempuannya itu melakukan puasa sunat pada hari kejadian dan mereka sekeluarga bercadang makan malam bersama.

"Pagi kelmarin, arwah bertanya di mana kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai Starex milik saya, berikutan dia mahu memandunya ke tempat kerja.

"Namun saya maklumkan kenderaan itu dihantar ke bengkel untuk dibaiki. Rupa-rupanya itu adalah pertanyaan terakhirnya," katanya ketika ditemui dalam lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh di rumahnya di Batu 8 1/2, Jalan Bernam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Nurul Syazwani meluangkan masa selama kira-kira 45 minit bertanyakan khabar keluarga Siti Norfatihah dan menyampaikan sumbangan.

Anan turut memaklumkan Siti Norfatihah sempat membeli barang dapur di sebuah pasar raya sekitar Kuala Selangor sebelum bertolak pulang.

"Sehari sebelum kemalangan, arwah menerima gaji pertamanya selepas sebulan bekerja di farmasi.

"Sewaktu hayat arwah seorang peramah dan mesra dengan keluarga, lebih-lebih lagi adik-beradiknya. Selain itu, dia juga sering bersedekah kepada orang memerlukan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, nahas membabitkan Perodua Kenari dipandu mangsa dan kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pemandu Ford Ranger gagal mengawal kenderaannya dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta mangsa.

Katanya, akibat pelanggaran itu Siti Norfatihah tercampak keluar dan keretanya terbalik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 3:41 PM