ORANG ramai membayar saman yang diberi potongan 50 peratus pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Saifullizan Tamadi
ORANG ramai membayar saman yang diberi potongan 50 peratus pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Saifullizan Tamadi
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, mencapai objektif sebagai platform kepada rakyat menyaksikan dan memahami pelaksanaan dasar, inisiatif serta pencapaian Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh pentadbiran.

Pesara, Mohd Sidek Yaakub, 66, berkata, pelaksanaan program itu disifatkan sangat membantu rakyat mendapatkan maklumat berkaitan kerajaan dan perkhidmatan disediakan agensi.

Menurutnya, peluang mendapatkan maklumat secara terus daripada pihak berkaitan dan pemeriksaan kesihatan serta inisiatif lain juga memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya mendapat pelbagai maklumat di sini termasuk proses wang tidak dituntut dan kemudahan yang disediakan seperti bas sangat membantu terutama warga emas.

"Bagi saya ia mencapai objektif pelaksanaan dalam menjadi platfrom kepada rakyat mendapatkan maklumat.

"Program seperti ini perlu diteruskan supaya rakyat boleh dapat maklumat dan pendedahan lebih dekat mengenai pencapaian kerajaan dan manfaatnya, cuma berharap selepas ini suasananya tidak terlalu bising untuk memudahkan kami mendengar penerangan dengan jelas," katanya.

Kerani, Nurul Aini Nor Abdul Malik, 49, berkata, dia datang ke program itu jam 9 pagi tadi untuk merebut peluang menukar topi keledar baru yang ditawarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sambil mendapatkan maklumat mengenai inisiatif kerajaan.

Menurutnya, input yang diperolehi daripada program berkenaan membantunya memahami dasar kerajaan dengan bertanya terus kepada pihak berkaitan.

Katanya, program itu bagus kerana rakyat dapat berinteraksi secara terus dengan pihak berkenaan termasuk mendengar penerangan daripada menteri.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani diadakan selama tiga hari bermula Jumaat hingga hari ini dengan acara kemuncaknya adalah majlis perasmian penutupan yang dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 petang ini.

Program itu menyediakan pelbagai program menarik seperti pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 50 peratus serta pameran aset kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu turut menjadi tumpuan kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kaunter pendaftaran Program Cuti-Cuti Cikgu serta saringan kanser payudara dan kanser serviks yang diberikan secara percuma, serta kempen antigangguan seksual selain membeli barang keperluan harian di reruai Jualan Mega Madani dan Jualan Rahmah.

Selain melawat reruai kementerian dan agensi kerajaan, pengunjung boleh menikmati diskaun hingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran, ayam dan daging segar menerusi Jualan Mega Madani.

Bagi memastikan kemudahan serta kelancaran perjalanan, orang ramai boleh menggunakan pengangkutan awam dengan perkhidmatan bas percuma disediakan bermula 7 pagi dan mereka juga akan menikmati diskaun 25 peratus bagi tambang perjalanan ke Stesen LRT Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 1:20 PM