Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan demonstrasi pemadaman api di tapak pameran pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan demonstrasi pemadaman api di tapak pameran pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas dua hari berlangsung, Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bakal melabuhkan tirai hari ini dengan acara kemuncak ialah Majlis Perasmian Penutupan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berlangsung di pentas utama pekarangan stadium itu, Anwar dijangka menyampaikan amanat serta mengadakan sesi dialog Malaysia Madani yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan pada 3 petang.

Selain penyampaian hadiah cabutan bertuah, penyerahan kutipan Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin Peringkat Perkhidmatan Awam turut diadakan.

Orang ramai juga berpeluang memeriahkan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani dengan pelbagai tarikan menanti termasuk menjana pendapatan melalui perniagaan coklat buatan tangan selain mendapatkan panduan mengenai Geran Agropreneur Muda dan Program Pembiayaan Agrobank.

Mereka juga dapat menyaksikan persembahan artis terkenal tanah air seperti Faizal Tahir, Hael Husaini, Suki Low dan Santesh di pentas utama yang akan bermula dari 12.30 hingga 1.30 tengah hari.

Bagi yang mempunyai saman trafik, hari ini adalah peluang saat akhir untuk mendapatkan diskaun hingga 50 peratus di kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia yang dibuka sejak dua hari lepas.

Tidak ketinggalan, pameran aset kerajaan termasuk milik Angkatan Tentera Malaysia seperti aset strategik dan kenderaan ringan, saringan kanser payudara dan kanser serviks, klinik pergigian dan klinik kesihatan am bergerak serta cabutan bertuah.

Pada 8 pagi, majlis pelepasan Mobilisasi Madani Afiat akan berlangsung di pekarangan stadium.

Selain melawat reruai kementerian dan agensi kerajaan, pengunjung boleh menikmati diskaun hingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran, ayam dan daging segar menerusi Jualan Mega Madani.

Bagi memastikan kemudahan serta kelancaran perjalanan, orang ramai boleh menggunakan pengangkutan awam dengan perkhidmatan bas percuma disediakan bermula 7 pagi dan mereka juga akan menikmati diskaun 25 peratus bagi tambang perjalanan ke Stesen LRT Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 8:37 AM