FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Putrajaya: Peluang kerjaya dan jualan barangan asas dengan diskaun sehingga 30 peratus menanti orang ramai yang hadir ke Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil dari 8 hingga 10 Disember ini.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bermula 9 pagi hingga 10 malam itu, diadakan bertujuan menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat.

Pengarah Seksyen Program Strategik dan Komunikasi Korporat PACU Mohd Zainuddin Mohd Noor berkata, antara komponen menarik dalam program itu adalah karnival kerjaya membabitkan Khazanah Nasional Bhd dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Turut diadakan Jualan Mega Madani, Jualan Rahmah dan AgroMadani oleh usahawan.

"Kita galakkan graduan (siswazah) dan pencari kerja hadir supaya dapat ditemuduga, mungkin ada rezeki ditawarkan pekerjaan pada hari berkenaan.

"(Jualan Madani) pula memberi peluang untuk mereka (rakyat) mendapatkan barang (asas) dengan harga diskaun hingga 30 peratus," katanya kepada Bernama.

Mohd Zainuddin berkata, objektif utama penganjuran program itu adalah untuk memberikan perkhidmatan terus kepada rakyat, selain menyebarluaskan kefahaman kepada rakyat mengenai pencapaian kerajaan selama setahun mentadbir.

"Paling penting untuk tempoh tiga hari ini adalah untuk memberikan perkhidmatan secara langsung dan besar-besaran kepada rakyat iaitu mereka boleh datang dan dapatkan sesuatu sama ada pekerjaan, padanan perniagaan dan lain-lain," katanya.

PACU menyasarkan kira-kira 100,000 pengunjung akan hadir memeriahkan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani itu.

Sekretariat program sebelum ini berkata, program dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia itu akan memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

Ketiga-tiga komponen itu adalah ikhtiar kerajaan dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan selari dengan nilai-nilai Malaysia Madani iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan majlis penutup program itu pada 10 Disember ini, yang akan dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 5:38 PM