SEBAHAGIAN pengunjung yang hadir ketika Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Hairul Anuar Rahim
SEBAHAGIAN pengunjung yang hadir ketika Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Hairul Anuar Rahim
Noor Hidayah Tanzizi dan Nur Elysa Amirah Suhaimi

Kuala Lumpur: Sebanyak 45,000 peluang pekerjaan disediakan pada Karnival Kerjaya sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Karnival berkenaan membabitkan 63 agensi kerajaan dan swasta sepanjang tiga hari penganjurannya bermula hari ini hingga Ahad ini antaranya membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Honda Malaysia Sdn Bhd.

Pada program berkenaan juga sebanyak 36 reruai kaunter perkhidmatan disediakan daripada pelbagai kementerian dan agensi yang menawarkan sebanyak 102 perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.

Antara perkhidmatan menarik, kaunter tawaran kemasukan ke Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti, kaunter pendaftaran dan semakan status bantuan e-Kasih, perkhidmatan Skim Perubatan MADANI, konsultasi dan permohonan pembiayaan serta latihan usahawan.

Segmen pameran turut membawakan kapsul MADANI yang memaparkan maklumat berkaitan dasar utama Kerajaan MADANI, merangkumi pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi (KE), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan serta Kementerian lain.

Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menawarkan diskaun saman sehingga 50 peratus dan pembayaran hanya boleh dilaksanakan di tapak program.

Pada program itu juga sebanyak 26 buah perkhidmatan bergerak turut disediakan antaranya pemeriksaan dan rawatan gigi percuma, kempen derma darah, pencerapan matahari oleh Planetarium Negara, perkhidmatan kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sebanyak 183 usahawan terbabit dalam Jualan Mega MADANI yang merangkumi Jualan RAHMAH, Jualan MADANI Koperasi, Jualan Agro MADANI, Jualan MyGrocer@Wilayah, Jualan Usahawan, Jualan Anekarasa MADANI, Jualan Trak Makanan dan Padanan Perniagaan.

Pada program itu juga pengunjung berpeluang membeli barangan keperluan harian melalui Jualan Mega MADANI dengan harga yang berpatutan dan inisiatif harga barangan sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan bas perantara (shuttle bus) ke tapak lokasi disediakan dari empat zon iaitu Perhentian Bas Endah Parade, Pavilion Bukit Jalil (Perhentian Bas Perantara), MRANTI Park (Parkir Bertingkat Aras 1) dan Astro Bukit Jalil (Pintu Masuk Pengunjung) bermula 7 pagi dengan pergerakan bas setiap 30 minit.

Selain itu diskaun 25 peratus bagi penggunaan token dan kad Touch 'n Go ke stesen Bukit Jalil juga diberikan kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 3:08 PM