Persiapan bagi Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI giat dijalankan di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Program tersebut dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 10 Disember 2023 dijalankan bagi mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat. FOTO ASYRAF HAMZAH
Persiapan bagi Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI giat dijalankan di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Program tersebut dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 10 Disember 2023 dijalankan bagi mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat. FOTO ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang membuka tirai di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini, menjadi platform terbaik bagi rakyat Malaysia melihat sendiri kad laporan kerajaan bagi tempoh setahun.

Program berlangsung tiga hari hingga Ahad ini adalah bagi menyebar luas dan mempromosi dasar dan inisiatif baharu diperkenalkan kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentabiran negara pada 24 November 2022.

Selain itu, program menyasarkan 200,000 pengunjung itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

Bukan itu sahaja, pelbagai tarikan menanti pengunjung termasuk kaunter pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kaunter pendaftaran Program Cuti-cuti Cikgu dan kaunter wang tidak dituntut (JANM).

Setiap kementerian juga membuka reruai dengan program khas seperti saringan kanser payudara dan kanser serviks, Jualan Mega Madani, klinik pergigian dan klinik kesihatan am bergerak, kaunter cetakan semula Sijil Peperiksaan Awam, Jualan Rahmah, saringan kesihatan percuma dan cabutan bertuah.

Program di pekarangan stadium itu turut diisi pameran pelbagai aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

ATM membawa aset strategik dan kenderaan ringan, APM menampilkan jentera Fire RescueTender (FRT) dan Special Rescue Vehicle (SRV) manakala JBPM mempamerkan Water Rescue Vehicle, Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan bot penyelamat.

Pencerapan matahari menggunakan teleskop, persembahan interaktif Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dron dan robot kancil serta pertunjukan Sains Bara Membara dan Ekplorasi Angkasa From Earth to Universe juga disediakan.

Penganjuran program yang bermula jam 9 pagi hingga 10 malam memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

Kemuncak program adalah majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Disember dan turut dihadiri kepemimpinan tertinggi kerajaan.

Anwar sebelum ini dilapor berkata, program itu bukan keramaian tetapi untuk melaporkan kepada rakyat apa yang dilakukan selain mendapat manfaat daripada perkhidmatan setiap kementerian.

"Namanya karnival, tetapi bagi saya laporan dan kemudahan. Bukan nak kata kejayaan luar biasa pun tidak. Satu tahun kita harus terima dengan lebih tawaduk. Ada perikemanusiaan untuk terima bahawa ada keterbatasannya.

"Tetapi ini mempamerkan apa dilakukan kementerian masing-masing. Penjualan Rahmah di situ. Ambil masa dan lihat penjelasan dan manfaat kepada pengunjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 6:55 AM