PETUGAS kesihatan melakukan rawatan pergigian kepada pengunjung di klinik gigi bergerak sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia MADANI. FOTO Aizuddin Saad
PETUGAS kesihatan melakukan rawatan pergigian kepada pengunjung di klinik gigi bergerak sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia MADANI. FOTO Aizuddin Saad
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kesedaran rakyat negara ini untuk melakukan pemeriksaan gigi termasuk pembersihan karang gigi atau 'scaling' berada di tahap sederhana.

Pegawai Pergigian Klinik Pergigian Seremban, Dr Siti Salwa Ahmad berkata, pihaknya sentiasa komited meningkatkan kesedaran pemeriksaan gigi di kalangan masyarakat negara ini.

"Kami sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran penjagaan gigi sebagai salah satu aspek penjagaan kesihatan yang perlu diambil berat. Tanpa keadaan gigi yang baik ia boleh menganggu kualiti kehidupan.

"Orang ramai digalakkan melakukan pemeriksaan gigi secara berkala setiap enam bulan sekali untuk memastikan tahap kesihatan gigi mereka di tahap yang baik," katanya ketika ditemui pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Sementara itu, Dr Siti Salwa berkata, seramai hampir 450 orang ramai mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan gigi percuma termasuk pembersihan karang gigi atau 'scaling' dan tampalan sempena program berkenaan sepanjang tiga hari.

Katanya, sambutan yang diterima sangat menggalakkan bermula 100 orang yang memeriksa gigi pada hari pertama, Jumaat lalu, meningkat kepada 180 pada hari kedua dan sehingga 1 tengah hari sudah lebih 150 orang memeriksa gigi di 'klinik' bergerak pihaknya.

"Hari ini, 9 pagi tadi sudah ramai yang menunggu dan kami membuat rawatan ini secara percuma kepada seluruh lapisan umur rakyat negara ini dengan paling ramai memeriksa dan membuat rawatan adalah golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas," katanya.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani diadakan selama tiga hari bermula Jumaat hingga hari ini dengan acara kemuncaknya adalah majlis perasmian penutupan yang dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, 3 petang ini.

Program berkenaan menyediakan pelbagai program menarik berlangsung seperti pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 50 peratus serta pameran aset Kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu turut menjadi tumpuan kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kaunter pendaftaran Program Cuti-Cuti Cikgu serta saringan kanser payudara dan kanser serviks yang diberikan secara percuma, serta kempen antigangguan seksual selain membeli barang keperluan harian di reruai Jualan Mega Madani dan Jualan Rahmah

Selain melawat reruai kementerian dan agensi kerajaan, pengunjung boleh menikmati diskaun hingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran, ayam dan daging segar menerusi Jualan Mega Madani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 3:47 PM