WAJAH Zulhilmi dikatakan seiras wajah Shukri Yahaya. FOTO ihsan Zulhilmi Ahmad
WAJAH Zulhilmi dikatakan seiras wajah Shukri Yahaya. FOTO ihsan Zulhilmi Ahmad
Noor Hidayah Tanzizi


Kajang: "Memang ramai orang cakap muka saya seiras Shukri Yahaya termasuk gaya, mata, senyuman, perangai dan suara. Saya tidak pasti kalau semua itu betul tetapi bagi saya ia mungkin hanya kebetulan saja," kata Zulhilmi Ahmad.

Zulhilmi, 31, dari Sungai Jelok, di sini mendapat perhatian netizen di TikTok apabila wajahnya dikatakan hampir seiras pelakon terkenal, Shukri Yahaya malah sering juga dianggap mempunyai pertalian darah dengan artis berkenaan.

Hakikatnya peniaga minyak wangi yang juga bapa kepada tiga anak itu tiada pertalian darah dengan pelakon berkenaan dan Zulhilmi turut mengakui dia hanya mengenali Shukri sebagai seorang pelakon drama saja.

Zulhilmi berkata, dia mula mendapat perhatian netizen sejak pasca Covid-19 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu namun mengakui mula mengenali Shukri sejak pelakon itu menjadi 'fenomena' kerana drama 7 Hari Mencintaiku.

Menurutnya, rakan di media sosialnya sering mengatakan wajahnya seiras pelakon berkenaan, malah menerima banyak kiriman mesej di akaun sosial mengenai perkara itu selain ada yang juga menyangka mereka bersaudara.

"Orang mula mengatakan wajah saya seperti Shukri Yahaya selepas drama 7 Hari Mencintaiku popular dan sehingga kini masih ada yang bercakap pendapat sama. Orang selalu cakap kalau saya senyum toleh ke tepi memang sama seperti Shukri.

"Saya kerap dapat komen wajah kami seiras, ada menyangka saya adalah Shukri selain ada juga sangka kami adik-beradik. Saya akan jelaskan dengan baik yang saya bukan Shukri dan kami juga bukan saudara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, biarpun sudah diterangkan dan nama di akaun sosial juga menggunakan nama sebenarnya, namun sehingga kini juga dia masih menerima soalan sama mengenai perkara itu.

"Saya seorang yang suka bergurau dan apabila ramai sangat yang tanya perkara sama saya biasanya akan balas yang kami saudara tetapi terpisah jauh sebagai gurauan tetapi saya tetap akan terangkan perkara sebenarnya dengan jelas.

"Ada juga rakan di media sosial minta saya tiru watak Shukri dan ada juga yang bergurau seperti marah jika mereka tidak puas hati dengan watak Shukri dalam drama," katanya.

Menurutnya, dia mengenali Shukri Yahaya sebagai pelakon dan mengakui turut meminatinya kerana lakonan pelakon berkenaan disifatkan hebat, namun penampilan serta cara senyumannya bukan mengikuti gaya artis itu.

"Mungkin sekali imbas atau orang baru pertama kali jumpa memang akan nampak kami sama tetapi dua tiga kali tengok sebenarnya tak sama wajah kami.

"Gaya sama itu kebetulan tetapi saya tak meniru gaya Shukri kerana gaya saya seperti ini sejak dulu lagi dan tidak mahu dianggap ambil kesempatan dengan perhatian diberikan termasuk dalam membuat konten TikTok kerana tidak mahu merosakkan nama sendiri dan juga nama Shukri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 4:07 PM