ANWAR meletakkan “Wakid” sebagai simbolik perasmian Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan di Dataran Buhavan Square Penampang hari ini. Turut sama, Hajiji (kanan) dan Ewon (tiga kiri). FOTO Bernama
ANWAR meletakkan “Wakid” sebagai simbolik perasmian Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan di Dataran Buhavan Square Penampang hari ini. Turut sama, Hajiji (kanan) dan Ewon (tiga kiri). FOTO Bernama
Izwan Abdullah


Penampang: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara memberi penekanan kepada pembangunan kota bermula dengan gerai dan warung yang bersih serta indah.

Beliau berkata, penekanan itu sejajar dengan populariti warung dan gerai sebagai lokasi utama yang menjadi tumpuan orang ramai berbanding restoran atau hotel yang ada di sesuatu kawasan.

Katanya, kemudahan untuk golongan penjaja dan peniaga kecil itu perlu didahulukan sebelum melaksanakan projek pembangunan besar di kawasan PBT masing-masing.

"Penekanan untuk membangunkan kota perlu bermula dari gerai dan warung terlebih dulu. Pastikan gerai dan warung diurus dengan baik, barulah fikir hal besar yang lain," katanya ketika merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023 di Buhavan Square, Donggongon, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Anwar berkata, Kerajaan Madani pimpinannya juga memberi keutamaan kepada pengekalan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur bagi menjadikan ibu negara sebagai kota warisan.

Katanya, projek raksasa yang dilaksanakan di ibu negara dan bandar di semua negeri tidak seharusnya menjejaskan nilai sejarahnya, sebaliknya pelan pembangunan perlu dirangka dengan baik untuk keselesaan hidup rakyat.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju supaya peruntukan RM20 juta yang diluluskan dalam Belanjawan 2024 untuk projek Tamu Desa bagi penyediaan dan penaiktarafan kemudahan gerai keusahawanan diberikan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Katanya, RM1 juta daripada peruntukan itu diberikan kepada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil untuk membiayai pengurusan persatuan berkenaan.

Terdahulu, Ewon meminta agar KUSKOP diberi tanggungjawab melaksanakan peruntukan itu selain berharap agar peruntukan sama disediakan kepada kementerian itu dalam belanjawan setiap tahun.

Katanya, penyaluran peruntukan itu bagi membolehkan KUSKOP membantu melengkapkan harapan dan impian komuniti penjaja serta peniaga kecil yang memerlukan pinjaman modal kredit dan kemudahan gerai daripada kementeriannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 4:32 PM