Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) optimis peruntukan tambahan dapat disalurkan kepada kementerian itu menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan 24 Februari ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata pihaknya mengemukakan cadangan awal kepada Kementerian Kewangan berjumlah RM666 juta bajet khusus bagi program pembangunan dan yakin ia akan diluluskan.

Katanya, selain program sedia ada membabitkan agensi di bawah kementerian itu, program baharu turut dirangka bagi tahun ini antaranya program pembangunan perusahaan sosial, program pembangunan untuk penjaja dan peniaga kecil, dan program usahawan siswazah.

"Memang kita mencadangkan tambahan bajet dan walau apapun, berdasarkan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan yang diadakan itu sangat-sangat positif. Mudah-mudahan ini diambil peduli oleh mereka.

"Program baharu yang memerlukan bajet baharu sudah kita cadangkan. Saya amat yakin ini diambil kira Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Majlis Sesi Sembang Santai bersama Masyarakat Orang Asli Perak di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak di Kampung Kerawat, Simpang Pulai, di sini, hari ini.

DATUK Ewon Benedick berucap pada majlis perasmian Program Sesi Sembang Santai Masyarakat Orang Asli Perak. FOTO L Manimaran
DATUK Ewon Benedick berucap pada majlis perasmian Program Sesi Sembang Santai Masyarakat Orang Asli Perak. FOTO L Manimaran

Katanya lagi, sejumlah 185 program atau projek dicadangkan untuk dilaksanakan kementerian itu serta agensi di bawahnya sepanjang tahun ini termasuk beberapa cadangan baharu yang bersesuaian dengan agenda Madani cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara dalam perkembangan lain, Benedick berkata selain kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Kuskop turut meluluskan moratorium atau penangguhan pembayaran semula pinjaman kepada mana-mana premis koperasi yang terkesan akibat bencana banjir pada 9 hingga 31 Disember tahun lalu.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melalui Jawatankuasa Kumpulan Wang Amanah Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) meluluskan penangguhan pembayaran itu untuk tempoh tiga bulan bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 2:56 PM