Ayub Jamil
Ayub Jamil
Omar Ahmad.


Johor Bahru : Kerajaan negeri menyalurkan bantuan 'one-off' kepada 19,000 pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro yang berdaftar dengan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan kerajaan tempatan negeri Johor Ayub Jamil berkata, peruntukan yang disalurkan bernilai RM19 juta.

Katanya, bantuan terbabit merangkumi dua program iaitu, Agenda Johor Berkebajikan dalam Belanjawan Johor 2021 dan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan Menteri Besar Johor pada 10 Jun lalu.

"Melalui PRE Ihsan Johor 3.0, beberapa inisiatif dan bantuan khas dengan menggunakan pendekatan secara sektoral bakal memberi manfaat kepada warga Johor meliputi sektor masyarakat dan modal insan, PKS dan lain-lain.

"Bagi sektor PKS, kesemua pengusaha PKS yang berdaftar dengan PBT negeri akan memperolehi bantuan 'one-off' sebanyak RM1,000. Bantuan ini bakal disalurkan kepada enam kategori pengusaha PKS dan mikro di negeri ini meliputi penyewa premis PBT, peniaga pasar malam, peniaga pasar pagi, peniaga pasar tani, penjaja dan peniaga uptown.

"Bantuan ini bertujuan untuk membantu rakyat yang terjejas di negeri Johor khususnya mereka daripada golongan B40 dan M40," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Ayub, antara inisiatif PRE Ihsan Johor 3.0 bagi sektor masyarakat dan modal insan pula termasuklah Bantuan 'one-off' sebanyak RM500 kepada 2,699 pemegang lesen premis gunting rambut atau salun yang berdaftar di 16 PBT negeri.

Katanya, penyaluran bantuan ini secara keseluruhannya berjumlah RM1.3 juta akan diserahkan dan dilaksanakan oleh PBT yang terbabit.

"Melalui Insentif di bawah Agenda Johor Niaga Belanjawan Johor 2021 pula, selepas proses tapisan dilakukan, seramai 19,090 peniaga yang layak menerima manfaat daripada inisiatif pengecualian lesen penjaja, PKS dan sederhana mikro, sewa premis dan gerai, sewa tapak pasar malam dan pasar pagi di kawasan PBT seluruh negeri selama setahun yang berkuat kuasa daripada awal tahun ini.

"Diharap inisiatif dan bantuan yang dirangka ini dapat membantu meringankan beban peniaga dan penjaja serta pengusaha perniagaan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 seterusnya merancak dan memulihkan semula sektor ekonomi di negeri Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 6:15 PM