Aminuddin Harun (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada pihak swasta bagi Tabung Bencana Negeri Sembilan di Wisma Negeri. FOTO Mohd Amin Jalil.
Aminuddin Harun (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada pihak swasta bagi Tabung Bencana Negeri Sembilan di Wisma Negeri. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Peniaga dan penjaja kecil di negeri ini menarik nafas lega apabila kerajaan negeri memberikan pengecualian bayaran lesen penjaja membabitkan permohonan baharu dan sedia ada, selama setahun mulai bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pengecualian bayaran lesen itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM785,953.

Katanya, langkah itu diambil bagi meringankan beban mereka susulan kesan daripada penularan wabak pandemik Covid-19.

"Kita sedar ramai peniaga dan penjaja kecil yang menerima kesan akibat pandemik Covid-19. Oleh itu kerajaan negeri berusaha untuk membantu bagi meringankan beban mereka dengan mengecualikan bayaran lesen penjaja pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya berharap semua peniaga dan penjaja kecil dapat mematuhi syarat yang ditetapkan PBT termasuk tidak menggaji pembantu warga asing atau membenarkan lesen perniagaan digunakan pihak ketiga.

"Mereka perlu patuh pada peraturan seperti terkandung dalam Akta, Undang-Undang Kecil dan peraturan yang dikuat kuasakan oleh PBT serta agensi kerajaan yang lain," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, tadi.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri berharap dapat membelanjakan peruntukan bagi pembangunan tahun ini sekurang-kurangnya 99 peratus daripada keseluruhan RM150 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan hebahan atau majlis penerangan di seluruh daerah negeri ini membabitkan pelbagai agensi, bagi menerangkan kepada rakyat tentang projek pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan mereka.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bersetuju menjadikan Sungai Linggi sebagai santuari bagi tujuan pembiakan dan pemeliharaan buaya sekali gus pusat tarikan pelancong.

Menurutnya, Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson telah mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk melaksanakan projek berkenaan.

"Terdapat populasi besar buaya di Sungai Linggi dan ia boleh dijadikan satu tarikan kepada pengunjung, malah sehingga ini tiada laporan mengenai orang ramai diganggu buaya di sungai itu.

"Jabatan Perhilitan akan memberikan perhatian dan pemantauan terhadap pergerakan buaya di Sungai Linggi dan kita berharap usaha menjadikan sungai ini sebagai santuari buaya akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 4:55 PM