WAN Rosdy Wan Ismail. FOTO arkib NSTP
WAN Rosdy Wan Ismail. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


SERAMAI 17,935 penduduk memerlukan di Pahang bakal menerima bantuan khas RM150 ‘one off’ dan barang keperluan asas, esok.

Selain itu, 6,238 peniaga kecil dan penjaja turut dibantu membabitkan peruntukan RM1.3 juta.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu bagi meringankan beban penduduk dan peniaga yang terkesan dengan pandemik Covid-19, yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, RM3.6 juta diperuntukkan untuk bantuan khas kepada golongan terkesan dan terputus sumber pendapatan yang akan diuruskan Pegawai Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mereka tidak perlu hadir ke pejabat untuk menuntut bantuan sebaliknya, ia akan diagihkan terus ke rumah masing-masing.

“Untuk penjaga dan peniaga kecil pula, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi potongan 50 peratus bagi bayaran sewa gerai dan lain-lain kemudahan PBT pada April.

“Potongan ini termasuk bayaran permit pasar tani, pasar pagi, pasar malam dan jualan but kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, potongan 50 peratus daripada kadar sewa bulanan Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan Rancangan Rumah Murah (RRM) turut diberikan kepada 2,453 penyewa bagi April.

“Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan petugas di bilik gerakan operasi, anggota keselamatan dan barisan hadapan, sebanyak RM765,800 diperuntukkan bagi menampung kos penyediaan makanan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan semua pihak termasuk anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dalam menyalurkan sumbangan kepada Tabung Covid-19 Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 7:21 PM