Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Biasanya setiap tahun suami yang sediakan kelengkapan raya keluarga, tapi tahun ini saya hilang punca selepas dia meninggal dunia akibat kanser buah pinggang," kata Nor Aza Hamzah, 41.

Kisah Nor Aza pernah disiarkan akhbar Harian Metro kerana ujian berat yang dilaluinya menjaga suaminya, Mohd Asri Zakaria, 49, yang menghidap kanser pada 4 November tahun lalu.

Menurut Nor Aza, suaminya meninggal dunia sebulan kemudian dan meninggalkan empat anak termasuk seorang daripadanya autisme.

Katanya, dia yang tidak bekerja terpaksa mengharapkan bantuan ahli keluarga mentua selain wang simpanan yang ada untuk meneruskan kehidupan.

Menurutnya, tiga anaknya, Aqil Amjad Mohd Asri, 10; Aina aqilah, 9 dan Alim ajwad, 6 (autisme) masih bersekolah manakala anak bongsu Aimi Mariam berusia dua tahun.

"Saya masih tinggal di rumah mentua di Kampung Senjana, Mukim Titi Gajah walaupun suami sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui sewaktu membeli pakaian Hari Raya di pasaraya Mydin, di sini sumbangan Cancer Survivors Malaysia (CSM), hari ini.

Nor Aza bersyukur kerana CSM membantunya untuk membeli pakaian hari raya buat anak-anaknya kerana dia tidak mampu untuk menyediakannya selepas kehilangan suami.

Katanya, sambutan Aidilfitri tahun ini disambut secara ala kadar tetapi syukur anak-anaknya dapat merayakannya dengan baju serta kelengkapan baru.

ZURAINI Kamal (kanan) memilih baju raya untuk anak-anak kepada Nor Aza Hamzah (dua dari kiri) ketika membeli belah di pasaraya Mydin. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZURAINI Kamal (kanan) memilih baju raya untuk anak-anak kepada Nor Aza Hamzah (dua dari kiri) ketika membeli belah di pasaraya Mydin. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Alhamdulillah, syukur saya amat terharu melihat anak-anak gembira walaupun tanpa ayah di sini," katanya.

Pesakit kanser Limfoma, Nurin Amira Aleya Mohd Khairi, 16, berkata, dia berterima kasih kepada CSM kerana menyumbang pakaian baharu untuk Aidilfitri tahun ini.

Katanya, sumbangan itu dapat menceriakan dirinya walaupun perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang pada hari lebaran nanti.

Norharimah Johari, 45, pula berkata, ini adalah tahun kedua CSM memberi sumbangan pakaian Hari Raya untuk anaknya, Muhammad Adi Putra Jafri, 9, yang menghidap kanser Limfoma.

Katanya, anaknya sangat gembira memilih baju bersama rakan-rakan senasib yang terpilih untuk membeli baju raya hari ini.

Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, seramai 20 orang pesakit kanser, golongan asnaf serta yatim piatu yang terpilih untuk membeli baju serta kelengkapan raya yang ditaja oleh CSM.

Beliau berkata, setiap penerima boleh memilih pakaian yang diminati dengan harga perbelanjaan sebanyak RM200 seorang dan sukarelawan CSM turut membantu memilih pakaian dan kelengkapan

"Hari ini kita turut membawa anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat kanser untuk membeli pakaian serta barangan kelengkapan diri.

"Dengan cara ini sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung keluarga yang memelihara mereka selain dapat menceriakan hati mereka untuk menyambut Aidilfitri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 1:06 PM