AZMAN Ismail (tengah) menunjukkan minyak masak yang dirampas dari dua lori yang ditahan di Tunjong sert Salor, pagi semalam. FOTO Siti Rohana Idris
AZMAN Ismail (tengah) menunjukkan minyak masak yang dirampas dari dua lori yang ditahan di Tunjong sert Salor, pagi semalam. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Empat lelaki disyaki 'transporter' ditahan bersama dua lori dengan muatan 19,550 kilogram (kg) minyak masak dianggarkan bernilai hampir RM50,000, semalam.

Penahanan dibuat di Tunjong dan Salor, di sini, sempena Op Taring Wawasan pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Batalion 8 (PGA8) .

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, rampasan pertama dibuat di hadapan kedai serbaneka di Tunjong, di sini, apabila pasukan ternampak sebuah lori yang mencurigakan pada 8.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan terdapat 600 kotak minyak masak di belakang lori ditutupi dengan kanvas dan semasa serbuan, pemandu serta kelindan sedang menunggu individu disyaki pemilik minyak masak untuk tujuan pemunggahan.

"Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barang kawalan termasuk invois penghantaran dan minyak masak itu disyaki untuk tujuan penyelewengan," katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan itu, pihaknya menahan sebuah lori yang diekori sejauh 10 kilometer di hadapan sebuah stesen minyak di Salor, di sini, pada 9.45 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati lori terbabit membawa muatan 9,350kg minyak masak dari dua kilang di Negeri Sembilan untuk dihantar ke pangkalan haram di Pengkalan Kubor sebelum diseludup ke Thailand.

"Semua suspek berusia 22 hingga 36 tahun dipercayai 'transporter' ditahan untuk siasatan dan mereka dipercayai menerima upah RM800 untuk sebuah lori dan satu perjalanan.

"Mereka direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 November untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 2:27 PM