Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 8,415 paket minyak masak bernilai RM33,660 dalam serbuan di Kampung Salor, Pasir Mas, petang semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 6 petang itu, anggotanya bersama kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemerhatian di belakang sebuah kedai hasil maklumat diterima.

Beliau berkata, terdapat beberapa lelaki sedang menyusun kotak ke dalam dua lori dalam keadaan mencurigakan, sebelum anggota menghampiri mereka dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Menurutnya, bagaimanapun, kumpulan lelaki terbabit melarikan diri dan gagal dikesan, kecuali seorang pemandu lori berusia 30-an yang ditahan untuk membantu siasatan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati semua kotak terbabit mengandungi minyak masak dipercayai untuk diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram.

"Selain lori, minyak terbabit turut dimuatkan ke dalam kereta Proton Saga Aeroback dan Proton Saga.

"Pemandu lori berkenan ditahan manakala lori serta minyak masak dirampas untuk diserahkan kepada KPDNHEP Kelantan bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Barang Bekalan 1961," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Briged Tenggara, Lubok Stok, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Penguatkuasa Ketua Unit Operasi KPDNHEP Kelantan, Mohd Hashim Mat Daud.

Azhari berkata. permintaan minyak masak adalah tinggi di Thailand dan ia dijual dengan harga dua kali ganda daripada harga biasa iaitu RM5.20 sekilogram berbanding RM2.50 di pasaran tempatan.

Dalam perkembangan lain, Azhari turut berkongsi kejayaan mereka merampas 186 kilogram ayam sejuk beku di pangkalan haram Kak Mah, di sini, pada 11 malam tadi.

"Hasil rampasan berkenaan, kami menahan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 30 tahun yang dipercayai turut serta memunggah kotak berisi ayam sejuk beku ke dalam kereta Perodua Axia berwarna putih.

"Kesemua barang kes dan tangkapan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya.

Supt Azhari merampas  8,415 paket minyak masak bernilai RM33,660. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Supt Azhari merampas 8,415 paket minyak masak bernilai RM33,660. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 3:35 PM