ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP memeriksa minyak masak di dalam lori pasir. FOTO ihsan KPDNHEP
ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP memeriksa minyak masak di dalam lori pasir. FOTO ihsan KPDNHEP
Siti Rohana Idris


Tumpat: Modus operandi penyeludup minyak masak semakin licik apabila menggunakan lori pasir bagi membawa barangan kawalan bersubsidi itu ke sesuatu lokasi sebelum diseludup ke Thailand.

Pemandu diupah RM100 untuk membawakan muatan minyak masak itu sebelum dibawa ke satu lokasi ditetapkan mengikut arahan penyeludup yang menghubungi menerusi panggilan telefon.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, melalui operasi bersepadu dijalankan bersama Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), mereka menyerbu sebuah rumah di Pengkalan Kubor pada 3 petang semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan menjumpai sebuah lori pasir diparkir berhampiran rumah itu dengan muatan kotak berwarna coklat disyaki mengandungi minyak masak paket satu kilogram.

"Semasa serbuan dijalankan, seorang lelaki disyaki pemandu lori cuba melarikan diri, namun dia berjaya ditahan.

"Pemeriksaan lanjut menemui 1,360 kilogram minyak masak dengan nilai pasaran RM3,400 dalam lori itu," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Azanizam berkata, lelaki berusia 40-an itu dipercayai mengambil upah RM100 bagi setiap penghantaran dan bekalan minyak masak itu diambil daripada pemborong di Pasir Mas.

Beliau berkata, pemandu terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen atau lesen dikeluarkan Pengawal Bekalan dan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Penyeludup barang kawalan bersubsidi membayar upah kepada pemandu lori pasir bagi mengaburi pihak berkuasa untuk mengangkut dan memunggah daripada pembekal atau pemborong tempatan seterusnya membawa ke pengkalan haram untuk diseludup ke negara jiran.

"Sitaan dibuat terhadap semua minyak masak dirampas termasuk kenderaan digunakan serta pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 11:03 AM