GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim dan Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sindiket menyeleweng minyak masak paket bersubsidi ditumpaskan dan seorang lelaki warga emas ditahan menerusi operasi bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, minggu lalu.

Serbuan 11.20 malam pada 1 Februari itu dijalankan di kawasan parkir kenderaan berat di Klang dekat sini, yang disyaki menjadi lokasi memindahkan minyak masak paket terbabit sebelum dijual ke pasaran gelap.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan membabitkan 13 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Selangor serta Pahang dilakukan susulan risikan sejak sebulan lalu.

"Semasa serbuan, anggota menahan seorang lelaki mengaku pemandu lori berusia 60-an. Pemeriksaan pada lori menemui 400 karton berisi 6,800 paket minyak masak paket satu kilogram.

"Pemeriksaan mendapati tempat parkir di kawasan sebuah gudang itu disyaki dijadikan lokasi memindahkan barang kawalan minyak masak paket satu kilogram bersubsidi tanpa lesen sah," katanya dalam sidang media di Pejabat KPDN Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua minyak berkenaan bersama lori dan dokumen dirampas dengan keseluruhan rampasan bernilai RM67,000.

Katanya, siasatan mendapati minyak masak terbabit dikilangkan di Pahang, namun dibawa ke Selangor disyaki untuk dijual ke pasaran gelap atau dibungkus semula untuk kegunaan industri.

Mohd Zuhairi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk mengesan ahli sindiket atau syarikat yang disyaki terbabit aktiviti penyelewengan itu.

Tambahnya, KPDN tidak menolak kemungkinan terdapat pembabitan pihak lain namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 1:09 PM